PETALING JAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengesahkan telah mengadakan pertemuan bersama pasukan peguamnya hari ini bagi membincangkan tindakan undang-undang berhubung dakwaan fitnah terhadap beliau sebelum ini.
Menurutnya, dakwaan kononnya beliau melarang laungan takbir dan bacaan qunut nazilah adalah satu fitnah yang berat serta tidak bertanggungjawab.
“Fitnah yang dilemparkan ke atas saya ini amat serius dan tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Fadhlina berkata, tindakan saman fitnah yang diambil adalah bertujuan untuk membersihkan namanya selain memberi pengajaran kepada mana-mana pihak agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan tuduhan tidak berasas.
“Tindakan undang-undang ini penting untuk memastikan kebenaran ditegakkan dan menjadi peringatan kepada semua agar lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat,” ujarnya.
Beliau dalam masa sama turut merakamkan penghargaan kepada barisan peguamnya yang telah membuat segala persiapan bagi prosiding saman tersebut.
“Terima kasih kepada pasukan peguam saya atas komitmen dan persiapan rapi dalam mengendalikan kes ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














