fbpx
Fadillah

Kerjasama kerajaan, rakyat kunci hadapi krisis tenaga global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Kerjasama antara kerajaan dan rakyat menjadi kunci utama kepada Malaysia dalam mendepani cabaran krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, susulan itu, kerajaan akan terus memastikan bekalan tenaga negara kekal terjamin selain bekerjasama rapat dengan industri bagi mengekang tekanan kenaikan harga.

Menurutnya, kejayaan negara dalam mengharungi krisis ini tidak hanya bergantung kepada usaha kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan peranan semua pihak termasuk rakyat dan komuniti perniagaan.

“Saya menyeru kepada rakyat dan komuniti perniagaan untuk bersama kerajaan dalam menggunakan tenaga secara berhemah serta mengelakkan pembaziran,” katanya pada taklimat khas di sini tadi.

Dalam menghadapi cabaran global seperti ini, katanya, kekuatan Malaysia terletak pada disiplin, kerjasama dan keyakinan bersama.

“Sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada tempias ini. Namun, penting untuk ditegaskan bahawa negara kita berada dalam keadaan terkawal, bersedia dan mengambil langkah proaktif mengurus kesan krisis ini.

“Namun, kita harus berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya krisis ini berlarutan.

“Kerajaan memahami kebimbangan rakyat. Justeru, pendekatan kita adalah jelas, tersusun dan berfokus kepada beberapa keutamaan,” katanya.

Katanya, keutamaan kerajaan ialah terus menjamin bekalan petroleum negara kekal mencukupi dan stabil.

“Kerajaan bersama Petronas serta syarikat industri memantau rantaian bekalan setiap hari.

“Pelan kontingensi juga telah disediakan bagi memastikan kelangsungan bekalan dalam apa jua keadaan, termasuk mendapatkan bekalan daripada pasaran alternatif sekiranya gangguan berpanjangan berlaku,” katanya.

Beliau berkata, hasil daripada penyelarasan itu, bekalan petroleum negara kekal mencukupi dan stabil.

“Kerajaan komited untuk melindungi rakyat. Harga RON95 bersubsidi dikekalkan pada RM1.99 seliter, manakala penyelarasan harga bahan api tidak bersubsidi dilakukan secara terkawal dan berperingkat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN