ZENECA – Pasukan Bosnia dan Herzegovina berjaya menamatkan penantian 12 tahun untuk layak ke Piala Dunia 2026 selepas menyingkirkan pilihan utama, Itali menerusi penentuan penalti 4-1 dalam aksi final playoff zon Eropah, awal pagi tadi.
Pada perlawanan itu, Bosnia cuba memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri meskipun dikejutkan dengan gol awal Azzurri menerusi Moise Kean sebelum bangkit menyamakan kedudukan hasil penyudah Haris Tabakovic.
Selepas perlawanan diheret ke penentuan penalti, semua pemain Bosnia dilihat lebih bersedia apabila Benjamin Tahirovic, Tabakovic, Kerim Alajbegovic dan Esmir Bajraktarevic menyudahkan semua sepakan yang diamanahkan.
Ketua jurulatih Bosnia, Sergej Barbarez memuji karakter luar biasa anak buahnya yang tidak pernah hilang kepercayaan untuk menang sepanjang 120 minit perlawanan.
“Saya melihat keyakinan barisan pemain sejak wisel permulaan ditiupkan. Mereka beraksi dengan penuh karakter dan kami bangga dengan apa yang pasukan pamerkan.
“Secara peribadi, saya anggap kami kini berada dua tahun lebih awal daripada perancangan (untuk kembali beraksi di peringkat tertinggi dunia),” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan Bosnia kini akan beraksi dalam Kumpulan B bersama Qatar, Switzerland dan tuan rumah, Kanada. – AGENSI






