KUALA LUMPUR – Kertas siasatan berhubung dakwaan meminta wang perlindungan melibatkan dua individu iaitu ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR), hari ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Senior Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya kini menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan berhubung kes tersebut.
Menurutnya, dua individu sebelum ini telah ditahan bagi membantu siasatan dan direman selama empat hari bermula Khamis lalu.
“Setakat ini, seramai empat saksi telah dirakam percakapan dan siasatan telah dilengkapkan sebelum diserahkan kepada TPR hari ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaproak polis menerima tiga laporan berhubung video tular yang mengaitkan ahli MPP Wilayah Persekutuan dengan dakwaan meminta wang perlindungan daripada sebuah pusat urut di Wangsa Maju.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini, media melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengarahkan satu laporan polis dibuat berhubung dakwaan berkenaan.
Beliau turut mengarahkan siasatan dimulakan serta-merta susulan penularan video berkenaan.
Baru-baru ini tular rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan kehadiran dua lelaki memperkenalkan diri sebagai ahli MPP meminta wang daripada sebuah pusat urut.
Difahamkan, wang itu sebagai perlindungan daripada sebarang tindakan penutupan premis berikutan terdapat aduan penduduk. – KOSMO! ONLINE














