ZENICA – Hanya selangkah lagi buat Itali untuk menamatkan kemarau selama 12 tahun bagi melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia 2026 menjelang aksi final playoff menentang Bosnia and Herzegovina awal pagi esok.
Bagaimanapun, ia bukan tugas mudah buat Azzurri apabila bakal turun sebagai sebagai pasukan pelawat di Stadium Billino Polje yang dianggap sebagai salah satu kubu terkuat skuad kendalian Sergej Barbarez itu.
Ketua Jurulatih Itali, Gennaro Gattuso memberi amaran kepada anak-anak buahnya supaya berwaspada dengan ancaman Bosnia selain menyifatkan perlawanan akan berlangsung dalam keadaan ‘panas’.
“Apa yang pasti, suasana perlawanan akan menjadi sangat ‘panas’ kerana ini merupakan satu pertemuan penting buat kedua-dua pasukan. Tidak kira pasukan mana sekali pun, situasinya tetap sama.
“Bosnia memiliki ramai pemain berpengalaman dan mampu bertahan dengan baik. Jentera serangan mereka juga sangat berbahaya, jadi benteng pertahanan kami perlu bekerja lebih keras nanti,” katanya.
Sebagai rekod, kali terakhir Itali layak ke pusingan akhir Piala Dunia adalah pada edisi 2014 yang berlangsung di Brazil sebelum mereka kempunan beraksi dalam dua edisi berikutnya di Rusia dan Qatar.
“Pada perlawanan terdahulu, kami tidak menampilkan aksi seperti dimahukan di separuh masa pertama. Oleh itu, saya harap untuk aksi bertemu Bosnia, kami tidak mengulangi kesilapan itu lagi,” ujar Gattuso. – AGENSI














