HULU SELANGOR – Seramai 11 penghuni termasuk wanita orang kurang upaya terselamat selepas rumah kebajikan didiami musnah dalam kebakaran di Kampung Pasir Ulu Yam Baru, di sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.21 malam.
Katanya, seramai 14 anggota dan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, BBP Bukit Sentosa dan BBP Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di tempat kejadian, terdapat sebuah rumah jenis sesebuah berkeluasan 3,000 kaki persegi musnah terbakar 80 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ahmad Mukhlis, tiga lelaki dewasa, tiga wanita dewasa, seorang wanita orang kurang upaya, seorang kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan bagaimanapun sempat menyelamatkan diri. – KOSMO! ONLINE














