fbpx
ALONSO kini tidak terikat dengan mana-mana kelab selepas melepaskan jawatannya bersama Real Madrid pada Januari lalu. - AFP

Alonso ganti Slot di Liverpool?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Xabi Alonso dilaporkan semakin hampir untuk kembali ke Anfield sebagai pengurus baharu Liverpool, sekali gus menguatkan spekulasi bahawa era kepimpinan dibawah kendalian Arne Slot bakal berakhir musim ini.

Kekalahan ke-10 liga musim ini, termasuk tewas mengejut 1-2 kepada Brighton, dilihat menjadi titik penentu kepada masa depan Slot dengan keputusan mengenai kedudukannya dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya penghujung musim ini.

Alonso yang pernah membuat 210 penampilan bersama The Reds dari 2004 hingga 2009 serta menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah pada 2005, kini menjadi sasaran utama pengurusan kelab Liverpool untuk memulihkan semula maruah pasukan yang kian tercalar.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Sepanyol itu dilaporkan tidak berminat untuk mengambil alih pasukan di pertengahan musim dan hanya akan memulakan tugas selepas tamat kempen semasa.

Prestasi semasa Liverpool cukup membimbangkan apabila mereka hanya mampu memungut empat mata daripada empat perlawanan terakhir liga, sekali gus menyaksikan pasukan itu kini tergelincir ke tangga kelima.

Pengurusan kelab yang diketuai Michael Edwards dilaporkan tidak pernah memutuskan hubungan dengan Alonso sejak cuba mendapatkan khidmatnya pada 2024, namun ditolak ketika itu.

Ketika bersama Bayer Leverkusen, Alonso mencipta sejarah apabila membawa kelab itu muncul juara Bundesliga tanpa kalah, sekali gus melonjakkan reputasinya sebagai antara jurulatih muda terbaik dunia. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN