PETALING JAYA – Jalan ‘tikus’ di laluan Felda Soeharto dan Felda Sungai Tengi di Hulu Selangor tidak lagi menjadi rahsia gara-gara aplikasi Waze yang memberi jalan pintas bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Menerusi hantaran di Threads oleh Amierahzainor, dia mendakwa berlaku kesesakan di laluan Sabak Bernam menghala ke Tanjung Karang.
“Ikut Waze, dia bagi jalan pintas dari Felda Soeharto ke Felda Sungai Tengi. 100 peratus bebas jem (kesesakan),” katanya.
“Mak kata sepanjang hidup tak pernah lagi balik dari kampung ikut jalan itu,” tambahnya.
Walau bagaimanapun, individu tersebut tidak menyarankan untuk menggunakan laluan itu pada waktu malam kerana mempunyai banyak ladang selain tiada lampu jalan.
“Jalan okey cuma macam tidak digalakkan lalu situ pada waktu malam sebab banyak lalu ‘estate’ (ladang) dan lampu tak banyak,” ujarnya.
Rata-rata pengguna mendakwa laluan tersebut merupakan laluan yang tidak sesak sebelum ini.
“Kampung akak itu, dulu tidak ‘viral’ (tular) tenang je kami. Sekarang sudah masuk jalan yang wajib jem bila musim perayaan,” kongsi Syafierasalleh.
“Alamak, jalan dalam kampung saya dah tak ‘secret’ (rahsia),” kata Arifahnrdn pula. – KOSMO! ONLINE














