SUNGAI PETANI – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di Jalan Kota Kuala Muda, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.23 malam itu, mangsa, Muhammad Ammar Zamri yang mengalami kecederaan dibawa ke Klinik Kesihatan Kota Kuala Muda sebelum disahkan telah meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika sebuah kereta jenis Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah Kota Kuala Muda ke Pulau Sayak.
“Kereta tersebut kemudian melanggar kanak-kanak terbabit yang dikatakan melintas jalan secara mengejut dari arah kiri ke hadapan laluan kereta.
“Pemandu iaitu seorang lelaki tempatan tidak sempat mengelak kerana jarak terlalu dekat,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Kota Kuala Muda dan disahkan telah meninggal dunia semasa menerima rawatan di situ.
“Mayat murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Kota Kuala Muda itu dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














