fbpx
Wakil pengusaha bas dari seluruh  negara berhimpun secara aman di Alor Setar, hari ini bagi menuntut kerajaan menyelesaikan isu berbangkit ekoran kenaikan harga diesel. 

Pengusaha bas persiaran tertekan kos naik 100 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Pengusaha bas persiaran terutama dalam sektor pelancongan semakin tertekan apabila kos operasi meningkat sehingga 100 peratus susulan kenaikan mendadak harga diesel ketika ini.

Pengerusi Gabungan Pengusaha Bas Persiaran Zon Utara, Ahmad Ruslan Abdul Latiff berkata, sebanyak 100 syarikat di bawah naungannya melahirkan kebimbangan terhadap impak jangka panjang kenaikan tersebut yang boleh menyebabkan mereka gulung tikar.

“Peningkatan harga diesel ini menjadikan sebut harga sebelum ini tidak relevan lagi. Kadar kos operasi sudah meningkat sehingga dua kali ganda, jadi boleh dikatakan keuntungan itu sudah tiada. Kalau perkara ini berlarutan bagaimana untuk kami teruskan perniagaan?

“Kita sudah memberikan sebut harga pada harga lama iaitu sebelum kenaikan ini. Selepas kenaikan, kami cuba berbincang dengan pelanggan namun agak sukar sehingga ada yang membuat keputusan untuk membatalkan tempahan. Setakat ini khabarnya sudah 50 peratus tempahan dibatalkan,” katanya ketika ditemui selepas satu perhimpunan aman di sini hari ini.

Seramai 31 pengusaha bas persiaran berhimpun secara aman bagi menzahirkan kebimbangan mereka terhadap perkembangan tersebut.

Kata Ahmad Ruslan, pihaknya akan menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar perkara tersebut ditangani dengan segera.

“Kami turut menyokong apabila menteri terlibat akan bertemu dengan PMX (Anwar Ibrahim) bagi mencari jalan menyelesaikan isu ini. Kami ingin mencadangkan insentif seperti bantuan awal dan subsidi bersasar yang diharap meringankan beban pengusaha,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Bas Bumiputera Malaysia, Zainal Abidin Mihat berkata, pengusaha kini berdepan tekanan berganda apabila tidak menerima sebarang subsidi.

“Kami tidak diberi subsidi dan kami membeli pada harga apungan. Kami menanggung kos operasi tinggi sudah lama namun masih bertahan tetapi kenaikan kali ini sangat tinggi. Jika perkara ini tidak ditangani kita saya tidak sampai tempoh sebulan banyak syarikat tidak mampu berjalan lagi.

“Kita beli diesel secara tunai, jika sebelum ini satu bas mungkin RM700 sekarang sudah jadi RM1,400 dan akan datang mungkin RM2,000 sedangkan tambang baru RM1,500 satu perjalanan. Macam mana nak bergerak. Sebab ini Tahun Melawat Malaysia 2026 dan ada pula impak begini jadi ia perkara yang serius,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Bumiputera Malaysia, Mahadi Izady Maharazi berkata, bantuan segera diperlukan bagi memastikan kelangsungan sektor tersebut.

Menurut beliau, terdapat kira-kira 5,000 pengusaha bas seluruh negara dijangka terjejas dengan kenaikan diesel itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI