Penggunaan kod QR bukan sahaja membuatkan pembayaran lebih cepat bahkan turut mengurangkan risiko kecurian wang dalam mesin.

Kod QR mudahkan usahawan dobi masa kini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERKEMBANGAN dunia digital yang semakin pesat menjadikan penggunaan kod QR (Quick Response) sebagai kaedah pembayaran tanpa tunai yang kian mendapat tempat dalam pelbagai sektor perkhidmatan, termasuk industri dobi layan diri.

Kaedah itu bukan sahaja memudahkan urusan transaksi, malah menyokong gaya hidup moden yang pantas, selamat dan efisien sekali gus pembayaran dapat dibuat secara masa nyata di mana sahaja.

Langkah mudah iaitu dengan hanya mengimbas kod QR menggunakan telefon pintar, pelanggan boleh membuat bayaran dengan cepat tanpa perlu membawa wang tunai atau syiling.

Cara pembayaran itu secara tidak langsung menjadikan pengalaman menggunakan dobi layan diri lebih praktikal dan mesra pengguna sekali gus memudahkan para usahawan dobi.

Menurut pemilik premis dobi layan diri Laundriz Self Service Laundry, Ikmal Hisham, penggunaan teknologi pembayaran digital semakin meluas dan memudahkan pelanggan kerana mereka tidak lagi perlu membawa wang tunai atau mencari duit syiling untuk menggunakan mesin.

“Pelanggan hanya perlu mengimbas kod QR menggunakan aplikasi perbankan atau e-wallet di telefon pintar dan pembayaran boleh dibuat dalam beberapa saat sahaja.

“Proses pembayaran menjadi lebih cepat dan sesuai dengan gaya hidup masyarakat sekarang yang lebih selesa menggunakan pembayaran digital tanpa tunai,” katanya kepada K-Tekno baru-baru ini.

Ujarnya lagi, kaedah tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada warga tempatan tetapi turut membantu pelancong untuk membuat pembayaran tanpa perlu membuat pertukaran mata wang asing.

“Sistem pembayaran QR sangat membantu pelancong kerana mereka tidak perlu menukar wang kepada mata wang tempatan terlebih dahulu.

“Kebanyakan pelancong sekarang menggunakan e-wallet atau aplikasi bank di telefon mereka, jadi mereka hanya perlu scan (mengimbas) kod QR dan buat pembayaran terus,” katanya.

Di samping itu, penggunaan kod QR juga membantu mempercepat aliran pelanggan terutama pada waktu puncak sekali gus tidak perlu lagi menunggu giliran untuk menukar wang atau memasukkan syiling.

Teknologi perbankan digital itu juga membantu memastikan mesin dapat digunakan dengan lebih cepat oleh pelanggan seterusnya dan mengurangkan kesesakan di premis dobi.

Beralih kepada aspek keselamatan, penggunaan kod QR juga membantu mengurangkan risiko kecurian dan vandalisme di premis termasuk pengusaha dobi tidak perlu menyimpan wang tunai dalam jumlah yang banyak di dalam mesin.

“Semua transaksi direkodkan secara digital melalui sistem pembayaran, sekali gus meningkatkan ketelusan dan memudahkan pemantauan transaksi yang dalam masa sama dapat mengurangkan risiko kehilangan wang akibat vandalisme atau memecahkan mesin.

“Bagi pengusaha dobi, pembayaran melalui kod QR memudahkan pengurusan kewangan kerana setiap transaksi direkodkan secara automatik dalam sistem.

“Ini membantu dalam penyediaan laporan jualan harian, pemantauan prestasi mesin serta memudahkan proses audit dan perakaunan selain dapat mengurangkan keperluan untuk mengira wang tunai secara manual yang boleh menyebabkan kesilapan,” katanya.

Oleh itu kesimpulannya, seiring perkembangan teknologi digital penggunaan kod QR dalam premis dobi layan diri bukan sahaja memudahkan pelanggan, malah memberi banyak manfaat kepada pengusaha dari segi keselamatan, kecekapan operasi dan pengurusan kewangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN