PETALING JAYA – Perjalanan pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidilfitri menjadi cabaran buat sebahagian keluarga, terutama bagi mereka yang terpaksa menempuh perjalanan yang jauh.
Menerusi satu perkongsian di Threads, seorang wanita berkongsi pengalaman terpaksa berada di dalam kereta lebih sembilan jalan semasa dalam perjalanan pulang beraya.
“Sembilan jam dah dalam kereta. Tadi kaki along (kejang) sampai menangis. Lepas tu abang long (suami) sedih.
“Dia cakap abang minta maaf abang asal Kelantan,” katanya menerusi tangkap layar perbualan bersama ahli keluarganya.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai yang turut berkongsi pengalaman menempuh perjalanan jauh dan kesesakan trafik ketika pulang beraya.
“Kena suruh along tu standby (siap sedia). Saya pernah kena jem raya 31 jam dari Shah Alam ke Bachok. Orang ingat kita sempat tidur hotel tapi tidak, memang 31 jam itu dalam kereta,” kata Nurul Atika.
“Ini Kelantan yang comel. Mesti dia kasihan sangat dengan isteri dia sampai terkeluar ayat tu,” seloroh Yatt.
“Saya orang Terengganu, suami orang Kelantan, kena minta maaf dekat masing-masing ke ni,” soal Khalidah. – KOSMO! ONLINE














