PETALING JAYA – Perdana Menteri menyambut baik ikhtiar perdamaian oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang mewakili badan Islam dan Hindu yang menjadi suatu cerminan tahap kematangan rakyat dalam memilih jalan damai.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut sekali gus menolak perpecahan dan mengangkat semangat saling menghormati.
“Inilah ruh dan jiwa sebenar Malaysia, sebuah negara yang teguh berdiri atas nilai ihsan, kebersamaan dan hormat antara kaum.
“Kebersamaan ini mesti terus kita pelihara dan rangkul sebagai asas kekuatan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Anwar turut berterima kasih kepada semua pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjayakan usaha tersebut.
“Semoga ikhtiar ini terus menyatukan kita dan menjadi teladan dalam memperkukuh perpaduan nasional,” katanya.
Terdahulu, NGO mewakili masyarakat Melayu dan India menggesa segala isu perkauman membabitkan kedua-dua kaum itu dinoktahkan segera dengan mencari titik perdamaian menyeluruh.
Menerusi sesi dialog membabitkan beberapa NGO, mereka sepakat supaya jalan perdamaian melalui rundingan perlu diadakan bagi mencari persamaan dalam menyelesaikan segala masalah yang berbangkit. – KOSMO! ONLINE














