PETALING JAYA– Hanya beberapa hari menjelang Aidilfitri, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong meluangkan masa menziarahi anak angkatnya, Putri yang baru keluar hospital selepas menjalani pembedahan baru-baru ini.
Menurut beliau, kekangan jadual kerja sebelum ini menyebabkan beliau tidak sempat melawat Putri ketika berada di hospital, namun kesempatan yang ada digunakan untuk melihat sendiri keadaan pelajar cemerlang itu.
“Putri sudah menjadi anak angkat saya sejak dia mengikuti pengajian diploma di UiTM. Kini dia hampir menamatkan pengajian ijazah di Universiti Malaya (UM),” katanya.
Steven Sim berkata, Putri merupakan seorang pelajar yang sangat tabah meskipun berdepan pelbagai cabaran hidup termasuk masalah kesihatan diri serta ibu bapanya.
Ujarnya, bapa Putri merupakan pesakit jantung yang sedang menunggu pembedahan pintasan (bypass), manakala ibunya turut berdepan masalah kesihatan kronik.
“Walaupun diuji dengan kesakitan yang terpaksa ditanggung seumur hidup selepas pembedahan, Putri tidak pernah mengalah. Dia tetap bekerja sambilan dan belajar bersungguh-sungguh,” jelasnya.
Tambah beliau, Putri pernah menerima Anugerah Naib Canselor ketika di UiTM serta tiga kali memperoleh Anugerah Dekan sepanjang pengajian di UM.
Dalam pada itu, Steven Sim turut berkongsi rasa bangga apabila komputer riba yang dihadiahkannya beberapa tahun lalu masih digunakan Putri sehingga kini bagi tujuan pembelajaran.
Sebagai tanda sokongan, beliau bersetuju menanggung kos ubat-ubatan Putri sebanyak RM250 sebulan selama setahun selain menghulurkan bantuan kewangan sempena Aidilfitri.
“Saya juga menawarkan peluang kepada Putri untuk menjalani latihan industri di kementerian berdasarkan kelayakan akademiknya yang cemerlang, bukan kerana hubungan kami,” ujarnya.
Beliau turut mengajak orang ramai mendoakan agar segala urusan Putri dan keluarganya dipermudahkan.
“Jalan terus Putri, `you can do it’,” katanya.- KOSMO! ONLINE.














