PETALING JAYA – Penyampai radio Kool FM, Datuk Aznil Haji Nawawi atau Pak Nil menyumbangkan RM3,000 kepada pemanggil yang berkongsi kisah sedih menjelang sambutan Syawal.
Pemanggil wanita yang dikenali sebagai Amira itu berkongsi situasi dirinya dan suami yang tidak mampu memberi wang lebih kepada orang tua mereka.
Prihatin dengan keadaan pemanggil itu, Pak Nil bertindak pantas mengirimkan wang secara dalam talian ketika masih ke udara.
“Amira kalau Pak Nil nak kirimkan duit raya untuk ibu, anak-anak dan anak-anak buah awak boleh tak? Kalau awak menolak, awak menolak hajat Pak Nil.
“Pak Nil dah kirimkan RM3,’000 untuk Amira. Saya nak hari raya ini awak gembira,” katanya.
Mendengar kata-kata Pak Nil, pemanggil itu menangis terharu mendapat bantuan secara terus.
“Ya Allah Pak Nil! Saya nak cari RM30 pun susah sekarang Pak Nil. Allahuakbar ya Allah.
“Pak Nil malam tadi saya doa, saya cakap Allah pinjamkam sedikit kekayaanMu kepadaku. Gembirakanlah hati kami, sesungguhnya aku dan suami sudah habis usaha.
“Saya tak sangka rezeki daripada Pak Nil. Tak pernah terfikir. Allahuakbar,” katanya.
Situasi mengharukan itu turut membuatkan ketiga-tiga penyampai Kool FM iaitu Pak Nil, Haiza dan Muaz mengalirkan air mata.
Sementara itu, netizen memuji kemuliaan hati Pak Nil yang tidak lokek berkongsi rezeki dengan mereka yang berada dalam kesusahan.
Ramai mendoakan agar rezeki penghibur tersohor itu bertambah serta sentiasa diberikan kesenangan di dunia dan akhirat. KOSMO! ONLINE














