LIVERPOOL — Pengurus Liverpool, Arne Slot pastinya menjadi individu paling gembira apabila menyaksikan pasukannya mara ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) selepas bangkit membenam Galatasaray 4-0 awal pagi semalam.
Liverpool turun dengan defisit satu gol selepas tewas pada aksi pertama di Istanbul mempamerkan dominasi apabila meledak empat gol menerusi Dominik Szoboszlai, Hugo Ekitike, Ryan Gravenberch dan Mohamed Salah untuk menang dengan agregat 4-1.
Kejayaan itu melegakan Slot yang berdepan tekanan hebat ekoran prestasi tidak menentu, malah perlawanan itu menjadi penentu masa depannya apabila bakal berdepan pemecatan sekiranya Liverpool tersingkir.
“Sejak dari awal hingga wisel penamat, para pemain mempamerkan aksi seperti yang saya inginkan. Ia adalah aksi yang hampir sempurna ditunjukkan oleh seluruh pasukan.
“Reaksi dan sokongan diberikan oleh para peminat juga membuatkan pemain-pemain lebih bertenaga. Dinamik antara peminat dan pemain ini menjadi aksi kami serba menjadi dan kemenangan ini khas untuk penyokong,” katanya.
Slot turut menghamburkan pujian kepada bintang sensasinya, Mohamed Salah yang turut meledak satu gol untuk mengumpul keseluruhan 50 gol dalam saingan UCL sekali gus menjadi pemain Afrika pertama melakukan pencapaian tersebut.
“Dia gagal menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama, namun itu tidak membuatkan semangatnya hilang dan akhirnya dia membalas kesilapan itu dengan jaringan penutup pada aksi kali ini.
“Kami terpaksa mengeluarkannya sebelum perlawanan berakhir bukan kerana aksi tidak menyerlah, tetapi dia seperti merasakan sesuatu (kecederaan) menyebabkan kami tidak mahu mengambil risiko,” jelasnya. – AGENSI














