BARCELONA – Hasil kaji selidik melibatkan ahli kelab Barcelona mendapati masih terdapat peminat mereka yang mengimpikan kepulangan bintang sensasi mereka, Lionel Messi untuk menyarung semula jersi pasukan itu.
Kemungkinan kepulangan Messi ke Camp Nou kembali mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat Barcelona apabila 10 peratus (%) responden mengakui mahu melihat kapten Argentina itu kembali sebagai pemain aktif.
Menerusi tinjauan yang dibuat tersebut, 55.5% daripada mereka percaya kelab tersebut perlu menganjurkan satu perlawanan khas sebagai tribute kepada bintang legenda mereka itu yang meninggalkan mereka ke Paris Saint-Germain dalam situasi penuh kontroversi sebelum ini.
Bagaimanapun, 28% lagi berpendapat Messi perlu kembali ke kelab itu bukan sebagai pemain, tetapi menjadi presiden kehormat kelab.
Dalam pada itu, 6% lagi berpendapat pemain berkenaan tidak perlu lagi kembali ke Barcelona atas apa jua kapasiti kerana menganggap dia sudah menjadi sejarah kelab.
Sebahagian besar peminat Barcelona turut mendesak pihak kelab memudahkan urusan pengundian kelab itu pada masa depan untuk memastikan mereka yang berada di luar wilayah itu juga mampu menyertai pemilihan itu. – AGENSI














