PENANTIAN yang tidak kunjung tiba, akhirnya sampai juga selepas saya berjaya mengumpulkan cukup ahli tegar untuk mengikuti trip bersama.
Saya bersama tujuh orang lagi sahabat berlepas meninggalkan pemandangan Gunung Jerai yang indah dari jeti Sungai Petani, Kedah menggunakan bot Battuta 3.
Bot ini dikemudi oleh tekong Nasir bersama seorang awak-awak yang turut merangkap tukang masak, Abang Mail.
Setahun juga kami menunggu giliran untuk mendapatkan slot dengan bot Batutta 3 ini kerana sentiasa penuh ditempah kumpulan pemancing-pemancing lain.
Tekong menyarankan kami untuk berehat dan tidur terlebih dahulu ketika dalam perjalanan kerana mengambil masa lebih dari tiga jam untuk sampai ke Tukun Perak.
Mana mahunya mata kami semua terlelap kerana masing-masing amat teruja untuk memancing di sana.
Jadi, kami mengambil kesempatan yang terluang untuk memasang peralatan memancing, mempersiapkan perambut, apollo, gewang dan jig.
Cari umpan
Sepanjang tiga jam perjalanan, bot berhenti di satu lokasi untuk mencari umpan hidup. Kami menurunkan sabiki atau dikenali sebagai apollo untuk mencari ikan-ikan kecil berupa selayang, tamban dan kembung.
Sambil ada yang menurunkan apollo, ada juga yang sempat fast jigging tenggiri di belakang bot.

Cukup saja bekalan umpan hidup yang diperlukan, bot terus bergerak ke destinasi pertama yang di dasarnya berkarang tinggi.
Di lokasi ini, tekong memberitahu bahawa pelbagai cara pancingan boleh dilakukan termasuk pancing dasar, jigging atau casting heavy sinking lure.
Saya memilih untuk mengunjun jig berat 80 gram dengan menggunakan joran berkekuatan PE2.5 dipadankan dengan kekili Shimano Tranx 30HG.
Terasa lambat jig sampai di dasar, apabila melihat paparan sonar barulah tahu rupa-rupanya kedalaman dasar adalah 80 meter.
Dalam hati berkata, jika kena ikan jenuh nak pam naik. Betul seperti yang dikata, saya kena seekor ikan gerepoh atau giant trevally (GT). Walaupun saiznya tidak kasar tetapi lelah hendak menaikkannya dari kedalaman itu.
Kami berubah lokasi beberapa kali dan hampir di setiap tempat ada sahaja ikan-ikan dinaikkan seperti jenahak, tenggiri dan GT.
Bolehlah buat memanaskan badan sebelum sesi memancing yang lebih tegar malam nanti.
Pancingan malam
Bot parkir di salah satu lubuk berpotensi, sebaik kami tiba di perairan Tukun Perak.
Di dasarnya berupa bukit-bukit yang tidak sama kedalamannya.
Malam merupakan waktu terbaik kekili elektrik digunakan, dan kaedah pancingan dasar menggunakan umpan ikan kecil menjadi agenda utama.
Inilah masanya ikan istimewa akan memunculkan dirinya iaitu siakap merah saiz jumbo atau ramai pemancing di sebelah Utara ini menggelarkannya sebagai ikan siakap tengah.
Di hari kedua, bot pergi rapat ke Tukun Perak untuk sesi popping dan jigging mencari GT, namun usaha kami tidak berbaloi langsung kerana tiada ikan yang dicari.
Tekong merasakan ikan predator tidak merapat mungkin disebabkan kurangnya kumpulan ikan-ikan kecil yang menjadi makanannya di sekeliling pulau.

Dia turut merasakan ikan-ikan pemangsa banyak berlegar di bukit-bukit di bawah air yang ada di sekitar tetapi sedikit jauh lokasinya dari tebing pulau.
Malam kedua
Di malam kedua, dengan berbekalkan umpan selayang hidup yang masih banyak lagi, satu persatu set kekili elektrik dipasang. Tidak menunggu lama, kumpulan ikan cupak menghadirkan diri.
Senyap sahaja kumpulan cupak itu, giliran ikan GT pula datang merembat umpan kami.
Kemuncak amukan itu adalah seekor GT saiz kasar yang biasanya dipanggil GT kerbau merembat umpan milik Fared sehingga drag kekili elektriknya menjadi panas sebelum ia dapat dihela naik ke atas bot.
Selain ikan cupak dan GT, geng lain turut mendapat ikan jenahak yang berselang-seli makan umpan hidup kami bersama ikan cermin.
Air lenang
Sepanjang dua hari trip, kami memancing dalam keadaan air laut yang sangat lenang. Namun tekong sudah memberi amaran, jika keadaan cuaca yang cantik sebegini, pengakhiran selalunya akan bertukar menjadi ribut.
Benar seperti apa yang tekong kata, malam itu kami dibantai ribut kuat sehinggakan sesi pancingan langsung tidak dapat dilakukan, walaupun kami sudah berlindung di sebalik pulau.
Subuh pada pagi itu, tekong berbincang dengan kami supaya trip ditamatkan awal untuk mengelakkan kecelakaan. Kami bersetuju sahaja dengan saranannya.
Perjalanan pulang mengambil masa lebih lama, melebihi lima jam untuk sampai ke jeti berikutan bot terpaksa meredah gelombang tinggi dan angin kuat.
Alhamdulillah, kami sampai dengan selamat bersama hasil tangkapan yang cukup mengujakan.















