Esok atau lusa kita akan meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri, hari kemenangan umat Islam setelah berjaya menunaikan ibadah puasa dan melawan nafsu sepanjang Ramadan.
Sudah tentu pada tempoh ini, banyak perkara sedang bermain di fikiran sehingga ada di antara kita yang mengalami stres di saat menjelangnya hari raya. Ini yang dinamakan festive stres atau stres perayaan?
Menurut Konsultan Bebas Psikologi Organisasi, Dr. Alizi Alias, stres menjelang raya merujuk kepada keadaan tekanan emosi, mental dan kadang kala fizikal yang berlaku apabila seseorang berdepan dengan pelbagai tuntutan tambahan sebelum perayaan.
Beliau berkata, dari sudut psikologi, stres berlaku apabila individu merasakan bahawa keperluan situasi seperti masa, kewangan, tenaga dan jangkaan sosial melebihi keupayaan dirinya untuk mengurus.
“Dalam konteks raya, ia sering melibatkan gabungan tekanan persiapan, hubungan kekeluargaan dan keinginan untuk memenuhi standard tertentu.
“Antara punca utama ialah tekanan kewangan akibat perbelanjaan tambahan seperti baju, makanan dan perjalanan, rasa kesunyian bagi individu yang tidak dapat bersama keluarga serta keletihan dan tekanan akibat perjalanan jauh dan kesesakan trafik.
“Selain itu, terdapat juga tekanan sosial seperti keinginan untuk ‘menunjukkan yang terbaik’ kepada orang lain,” katanya di sini.
Jelas beliau, punca-punca tersebut boleh menimbulkan stres kerana melibatkan tiga elemen utama dalam psikologi iaitu ketidakpastian, kehilangan kawalan dan jangkaan tinggi.
“Apabila seseorang tidak pasti sama ada kewangan mencukupi, tidak mampu mengawal keadaan seperti trafik atau merasakan perlu memenuhi standard sosial tertentu, sistem emosi akan bertindak balas dengan stres sebagai amaran,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, stres juga boleh menyebabkan perubahan emosi seperti mudah marah, cepat tersinggung, gelisah dan hilang keseronokan.
“Dalam jangka pendek, ia boleh menjejaskan fokus dan membuat keputusan. Dalam jangka panjang, ia boleh merosakkan hubungan kekeluargaan kerana interaksi menjadi lebih tegang.
“Bagi individu yang mempunyai cabaran kesihatan mental, stres juga boleh mencetuskan atau memburukkan simptom sedia ada seperti kebimbangan, kemurungan atau keletihan emosi yang melampau terutamanya apabila mereka terdedah kepada rangsangan sosial dan tuntutan yang berlebihan,” katanya.
Alizi berkata, cara mengelakkan stres menjelang raya adalah dengan membuat perancangan awal yang realistik termasuk bajet dan jadual serta menetapkan keutamaan dengan membezakan antara keperluan dan kehendak supaya tidak membebankan diri secara tidak perlu.
“Sikap bersederhana juga membantu dengan menurunkan jangkaan yang tidak realistik. Apabila seseorang tidak terlalu terikat dengan standard luaran seperti kemewahan atau kesempurnaan, tekanan emosi akan berkurang.
“Sebagai contoh, memilih untuk menyediakan juadah yang sederhana tetapi mencukupi dapat mengurangkan keletihan dan tekanan memasak berlebihan. Begitu juga, mengehadkan pembelian pakaian,” katanya.
Justeru, beliau menambah, ahli keluarga memainkan peranan penting melalui sokongan emosi dan perkongsian tanggungjawab dengan cara mengagihkan tugasan.
Bagi penulis, tindakan seumpama itu secara tidak langsung dapat mencapai tahap komunikasi dengan lebih baik manakala bebanan yang dipukul individu tersebut juga menjadi lebih ringan.














