POKOK cucur atap atau juga dikenali sebagai coreng atap adalah salah satu daripada empat spesies pokok pulau yang banyak terdapat di pesisir pantai terutama di Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Secara tradisinya, daun pokok cucur atap yang berbentuk halus seperti jarum ini digunakan sebagai teh herba untuk kesihatan kerana dikatakan berkhasiat untuk membantu meredakan masalah kesihatan tertentu, selain bertindak sebagai antibakteria.
Pokok ini juga sangat popular dalam kalangan ‘pemain’ bonsai terutamanya di Asia kerana ciri-cirinya yang unik iaitu berdaun kecil, berbunga putih, mempunyai sifat ‘ketuaan’ semula jadi serta jangka hayat yang lama.
Selain bonsai kayu hitam, bonsai cucur atap adalah antara produk bonsai yang diiktiraf dunia, malah dilabelkan sebagai bonsai kemegahan beridentitikan Malaysia kerana cirinya yang lebih unik berbanding spesies sama di negara lain.
Namun, disebabkan sifatnya yang tumbuh meliar dan kurangnya pendedahan tentang keistimewaannya dari sudut seni menyebabkan ramai orang terlepas pandang akan nilai sebenar pokok ini.
Bagi dua sahabat karib, Khairul Rezwan Dzulkifli, 40, dan Ahmad Shuhaimi Muhammad, 42, mereka berdua juga pada awalnya tidak mengetahui ‘kehebatan’ pokok cucur atap yang banyak terdapat di sekitar kampung mereka.
Menurut Khairul, pokok cucur atap banyak tumbuh di sekitar rumahnya di Kampung Sungai Ular, Kuantan, Pahang tetapi kebanyakan penduduk kampung tidak mempedulikan pokok berkenaan, malah ada yang menebangnya untuk membersihkan kawasan.
“Dulu, memang saya pernah lihat ada orang luar datang mengambil pokok cucur atap di kampung ini, namun saya tidak pernah bertanya apa yang mereka buat dengannya.
“Sehinggalah suatu hari pada kira-kira tiga tahun lalu, saya secara tidak sengaja berkunjung ke ekspo bonsai di bandar Kuantan dan melihat satu pokok bonsai yang sangat cantik dipertandingkan di ekspo berkenaan.
“Saya terkejut apabila diberitahu pokok itu sebenarnya pokok cucur atap kerana bentuknya selepas dijadikan bonsai sangat berbeza dan cantik,” katanya mengimbau semula detik pencetus minatnya dalam seni pembuatan bonsai cucur atap itu.

Bagi Shuhaimi pula, dia mula berjinak dengan hobi menghasilkan bonsai daripada pokok cucur atap selepas didorong rakannya itu, selain banyak membuat rujukan dan mencari maklumat melalui internet.
“Pada peringkat permulaan, kesabaran kami diuji apabila kebanyakan pokok yang diambil untuk dijadikan bonsai, mati selepas ditanam semula di dalam pasu tetapi kami tidak pernah berputus asa dan terus mencuba,” katanya.
Shuhaimi mendedahkan, mereka berdua bernasib baik apabila telah menemui peminat bonsai, Zulkifli Mohamed, 39, yang sanggup berkongsi ilmu. Kini, mereka bertiga bekerjasama mengusahakan tapak semaian bonsai cucur atap sejak tiga tahun lalu.
“Alhamdulillah, daripada hanya suka-suka, kini hobi kami ini mampu memberikan pendapatan lumayan dan kami juga banyak menjual pokok yang belum dijadikan bonsai atau dipanggil ‘bahan’ kerana lebih mudah dijual serta tidak perlu mengambil masa yang lama.
“Sepanjang kami mengusahakan tapak semaian ini, sudah banyak pokok cucur atap yang berjaya dijual dan pasarannya pula meliputi seluruh negara sama ada dihantar sendiri atau melalui pos,” katanya.

Jelasnya, kini terdapat lebih 80 pokok cucur atap di tapak semaian mereka yang sedia untuk dijual, namun terpaksa ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.
Sementara itu, Zulkifli berkata, dia mula berkecimpung dalam hobi berkenaan sejak tahun 2013 dan gembira dapat berkongsi pengalaman serta ilmu yang ada dengan dua rakannya itu. Dia bahkan memuji kesungguhan mereka berdua.
“Sebenarnya ramai orang yang minat dengan hobi ini, namun kebanyakannya hanya separuh jalan. Minat mereka mula pudar apabila pokok-pokok itu sering mati selepas ditanam di dalam pasu.
“Tidak semua pokok cucur atap yang diambil dari habitat asalnya akan tumbuh segar selepas disemai dan bagi saya, ini bergantung kepada lokasi pokok itu diambil selain penjagaannya selepas itu,” katanya.
Menurut Zulkifli, pokok yang disemai sudah boleh dijual sebagai ‘bahan’ selepas tiga bulan dan boleh dijual pada harga antara RM50 hingga RM500 bergantung kepada rupa bentuk serta ciri unik pokok berkenaan.

“Namun untuk dijadikan bonsai akan mengambil masa yang agak lama, selain perlu menjalani proses yang teliti dan tekun, setimpal dengan harganya yang mampu mencecah ribuan ringgit,” katanya yang telah membuat keputusan meninggalkan kerjayanya dalam bidang minyak dan gas kerana mahu memberi tumpuan penuh kepada perniagaan bonsai cucur atap selain turut mengusahakan fertigasi tanaman cili.
Pesannya, habitat pokok cucur atap perlu dipelihara kerana penerokaan kawasan yang tidak terkawal boleh menyebabkan spesies tumbuhan itu pupus sekali gus merugikan semua pihak.















