PETALING JAYA – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dengan kerjasama Muslim Smart Wearable Company (MSWC) memperkenalkan sistem digital bagi memantau pengurusan badal haji dan umrah menerusi penggunaan M2 Muslim Smartwatch.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pendekatan berasaskan teknologi itu diyakini mampu meningkatkan tahap kepercayaan masyarakat terhadap pelaksanaan ibadah berkenaan.
Menurutnya, pengurusan badal haji sebagai tanggungjawab fardu kifayah perlu dilaksanakan secara lebih telus dan sistematik, selari dengan peningkatan kos serta keperluan umat Islam masa kini.
“Kami memperkenalkan sistem pemantauan digital berteknologi tinggi yang membolehkan pelaksanaan badal haji dan badal umrah dipantau secara masa nyata.
“Sistem ini dibangunkan melalui kerjasama dengan syarikat teknologi dari Arab Saudi, MSWC dengan penggunaan peranti pintar berkenaan. Setiap pelaksanaan turut disertakan pensijilan digital bagi memastikan rekod dibuat secara profesional dan boleh dirujuk oleh waris atau pihak berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pendekatan itu bukan sahaja meningkatkan ketelusan, malah memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa ibadah badal dilaksanakan secara amanah serta boleh disahkan.
Tambahnya, peningkatan kos menunaikan haji ketika ini menjadikan keperluan kepada sistem pengurusan badal haji yang lebih tersusun dan dipercayai semakin penting.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MSWC Malaysia, Prof Adjung Datin Seri Azreen Abu Noh berkata, penggunaan teknologi wearable melalui M2 Muslim Smartwatch merupakan satu inovasi baharu dalam pengurusan ibadah umat Islam.
“Melalui sistem ini, pelaksanaan badal haji dan badal umrah dapat dipantau serta disahkan secara digital dengan lebih telus dan diyakini.
“Ia sekali gus meningkatkan keyakinan umat Islam bahawa ibadah tersebut dilaksanakan secara amanah, profesional dan boleh disahkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE












