HONG KONG – Polis Hong Kong menahan dua wanita transgender dari Thailand selepas mereka menyerang seorang lelaki China menggunakan kasut tumit tinggi, didakwa berpunca daripada pertikaian kewangan, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Agensi berita tempatan, HK01 melaporkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 8 malam (waktu tempatan), kelmarin di Bangunan Kin Hing, Jalan Argyle di Mong Kok.
Kes itu melibatkan dua wanita transgender dari Thailand yang berumur 29 dan 30 tahun, serta seorang lelaki China berusia 55 tahun.
Polis dipanggil ke tempat kejadian dan menahan mereka yang terlibat. HK01 melaporkan, pertikaian itu adalah mengenai wang, yang disyaki sebagai bayaran untuk perkhidmatan.
Lelaki China itu dilaporkan enggan membayar wanita transgender Thailand berusia 29 tahun dan cuba melarikan diri, mendorong suspek untuk memanggil rakannya yang berusia 30 tahun ke tempat kejadian.
Media melaporkan, kedua-dua warga Thai itu kemudian menyerang pelanggan tersebut menggunakan kasut tumit tinggi mereka.
Mangsa mengalami luka di kepala, hidung berdarah dan pening, manakala suspek dilaporkan mengalami kecederaan di tangan dan kaki mereka.
Mangsa dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala suspek ditahan untuk siasatan selanjutnya. – AGENSI














