BUKIT MERTAJAM – Tempoh reman dua pengasuh disambung tujuh hari lagi bagi melengkapkan siasatan kes kematian bayi lelaki berusia empat bulan di sebuah taska dalam awasan Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini Isnin lalu.
Tempoh reman sehingga 23 Mac ini terhadap dua suspek wanita berusia 22 tahun itu untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Perintah sambung reman itu dibenarkan Majistret Nurul Rasyidah Mohd. Akit di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Terdahulu, suspek tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 8.30 pagi dengan kedua-dua tangan bergari dan memakai pakaian lokap berwarna ungu sambil diiringi anggota polis. Sebelum ini, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 10 Mac lalu.
Terdahulu, media melaporkan Hayl Haarith Mohd. Syafaeez berusia empat bulan ditemui tidak sedarkan diri di sebuah taska dalam kawasan HSJ sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital sama pukul 4.20 pagi, Isnin lalu.
Susulan kejadian itu, dua pekerja taska ditahan bagi membantu siasatan dan satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan insiden tersebut tular di media sosial. -KOSMO! ONLINE














