KOTA BHARU – Hanya kerana enggan berbuka puasa bersama-sama, anak perempuan kepada pemilik restoran terapung terkenal di daerah ini, JL Fara Houseboat (JL Fara) cedera pada beberapa anggota badan selepas dipercayai dibelasah bekas tunangnya di sebuah rumah di Kampung Kedai Lalat di sini pada 21 Februari lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa yang berusia 19 tahun dikatakan dipukul dan dicekik bekas tunangnya yang juga merupakan individu yang dikenali di media sosial.
Ibu mangsa yang juga pemilik JL Fara, Fara Sharina Zamari, 37, berkata, dia melihat kesan lebam akibat dicekik pada bahagian tengkuk anaknya selepas kira-kira tiga hari kejadian tersebut berlaku.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati, ada beberapa lagi kesan lebam pada beberapa bahagian badan anaknya.
“Anak sulung saya kemudian memaklumkan bahawa dia dipukul oleh tunangnya hanya kerana tidak mahu berbuka puasa bersama-sama. Mereka berdua sudah bertunang hampir tiga bulan lalu.
“Difahamkan, tunangnya itu marah sebelum mengasari anak kerana dia mahu berbuka puasa bersama saya pada hari tersebut,” katanya pada sidang akhbar di JL Fara di sini hari ini.
Fara Sharina memberitahu, dia kemudian membawa anaknya membuat laporan polis sebelum pergi ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk pemeriksaan kesihatan.
Menurutnya, dia bersyukur kerana anaknya tidak mengalami kecederaan yang serius.
“Selepas laporan dibuat, tunang anak saya itu ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
“Saya dimaklumkan bahawa bakal menantu itu merupakan seorang yang panas baran da pernah melakukan perbuatan sama kepada perempuan lain sebelum ini,” ujarnya.
Fara Sharina berkata, ekoran kejadian itu, dia meminta anaknya memutuskan tali pertunangan tersebut kerana bimbang kejadian yang lebih teruk berlaku selepas ini. – KOSMO! ONLINE














