LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta percaya kemenangan dramatik 2-0 ke atas Everton menjadi detik paling penting pada musim ini dalam misi memburu trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama dalam tempoh 22 tahun.
Lebih manis, Arteta turut memuji percaturan taktikal yang dibuat selepas memasukkan pemain berusia 16 tahun, Max Dowman yang meledak gol pertamanya bersama The Gunners sekali gus memecahkan rekod sebagai penjaring termuda dalam sejarah kelab dan EPL.
Menurut Arteta, malam penuh dramatik itu bakal menjadi kenangan istimewa untuk tempoh yang lama buat semua penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut.
“Ini satu momen yang luar biasa dan saya rasa semua orang akan mengingatinya untuk tempoh yang sangat lama.
“Semangat pemain yang tidak pernah berhenti berjuang untuk memenangi perlawanan ini sangat mengagumkan, dan cara kami menjaringkan dua gol pada minit-minit akhir menjadikan keputusan kali ini sangat istimewa,” katanya.
Mengulas lanjut, Arteta turut gembira melihat perkembangan Dowman yang dianggap memiliki bakat luar biasa selain memiliki personaliti yang matang di atas padang.
“Dowman memiliki keunikan sahaja bakatnya, tetapi juga keyakinannya untuk beraksi dalam perlawanan penting ini dengan penuh keyakinan,” katanya.
Sebelum ini, rekod penjaring termuda dalam sejarah EPL menjadi milik bekas penyerang Everton, James Vaughan yang meledak gol pada usia 17 tahun pada saingan musim 2005.
Keputusan itu menyaksikan Arsenal kini selesa memiliki kelebihan sembilan mata berbanding Manchester City dengan mengutip 70 mata selepas mengharungi 31 perlawanan. – AGENSI














