Kekerapan kes di mahkamah tidak kira siapa yang didakwa begitu menjadi perhatian masyarakat. Sudah tentu selain Orang Kena Tuduh (OKT), turut menjadi perhatian ialah seseorang peguam yang membawa kes.
Istilah kononnya menjadi seorang peguam bermakna ‘meletakkan sebelah kaki di neraka dan sebelah kaki lagi di syurga’ begitu sinonim digunakan.
Dalam perundangan, prinsip yang dipegang oleh pengamal undang-undang, adalah ‘seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’.
Ini kerana seseorang OKT memang diberikan peluang dan ruang untuk pembelaan mereka didengari.
Pengamal undang-undang, Muhammad Amin Abdullah berkata, tugas peguam bukan sahaja membuktikan anak guam mereka tidak bersalah tetapi untuk memastikan seseorang OKT mendapat pembelaan yang adil dan saksama sebagaimana yang termaktub di dalam undang-undang.
“Di pihak tertuduh, peguam berperanan untuk merangka strategi dan menyediakan pembelaan tertuduh di mahkamah. Di mahkamah pula, peguam menjadi
‘suara’ kepada tertuduh yang tidak mempunyai pengetahuan dan kefahaman berkenaan undang-undang.
“Selain itu tugas peguam adalah antaranya untuk memastikan bahawa keterangan-keterangan terhadap tertuduh adalah keterangan yang kredibel yang telah pun ditetapkan oleh undang-undang,” katanya.
Dalam isu pembelaan pula, peguam itu menyatakan demi memastikan sesuatu pembelaan itu berjaya, menjadi tanggungjawab peguam untuk mematahkan setiap elemen-elemen pertuduhan yang dikemukakan di mahkamah.
Ia yang mana peguam itu sendiri berperanan membantu Hakim dalam mahkamah untuk membuat dapatan terhadap sesuatu kes berdasarkan fakta dan keterangan-keterangan saksi.
“Secara ringkasnya peguam (criminal) berperanan untuk menjadi ‘semak’ dan ‘imbang’ agar tertuduh dapat menjalani perbicaraan yang adil. Ia sekali gus seseorang yang didakwa tidak dituduh secara membuta tuli atau dituduh tanpa sebarang keterangan yang benar-benar kredibel,” katanya lagi.
Pada pendapat penulis profesion seseorang peguam bukan sahaja membentangkan kepada masyarakat mengenai undang-undang tetapi ia lebih kepada keadilan.
Untuk rekod antara contoh kes yang dilepas bebas sehingga ke peringkat akhir ialah membabitkan Samirah Muzaffar dan dua remaja yang mana mereka kekal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan atas pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais selepas menolak rayuan akhir pihak pendakwaan terhadap keputusan lepas dan bebas ketiga-tiganya sebelum ini.
“Setelah meneliti alasan bertulis Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, kami tidak mendapati apa-apa kesalahan terhadap sebab-sebab yang diberikan oleh kedua-dua mahkamah ketika membebaskan ketiga-tiga responden daripada pertuduhan.
“Berdasarkan hujahan bertulis dan lisan perayu dan responden, kami tidak dapat menyatakan pertuduhan dibuktikan secara prima facie di akhir pendakwaan. Pihak pendakwaan gagal membuktikan antara lainnya ketiga-tiga tertuduh mempunyai niat bersama untuk menyebabkan kecederaan yang akhirnya boleh menyebabkan
kematian,” kata Hakim Abu Bakar Jais.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan.















