KUALA LUMPUR – Sebanyak lima premis pusat urut di sekitar Jalan Langkawi, Platinum Walk Danau Kota di sini diarahkan tutup serta-merta selepas didapati beroperasi tanpa lesen dalam operasi bersepadu yang dijalankan semalam.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, operasi tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Operasi Bersepadu Tebah (Premis Pusat Urut) Siri 1/2026.
Menurut kenyataan itu, pemeriksaan dijalankan ke atas enam premis perniagaan yang melibatkan pusat urut refleksologi, salon serta pusat kecantikan yang disyaki beroperasi tanpa lesen dan melanggar syarat lesen yang dikeluarkan pihak berkuasa.
“Hasil pemeriksaan mendapati lima premis pusat urut melakukan kesalahan dan tindakan penutupan serta-merta telah diambil.
“Selain itu, lima notis kompaun turut dikeluarkan atas kesalahan beroperasi tanpa lesen serta menggajikan pekerja warga asing tanpa kelulusan,” katanya hari ini.
DBKL turut menjalankan lima tindakan sita dan pindah peralatan melibatkan modem WiFi, kamera litar tertutup (CCTV), monitor, perakam video serta beberapa peralatan lain.
Menurut DBKL, tindakan penguatkuasaan itu diambil mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 serta Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Tambah kenyataan itu, operasi bersepadu berkenaan berjalan lancar dengan kerjasama PDRM dan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang oleh pengusaha premis. – KOSMO! ONLINE














