PETALING JAYA – Dua beradik ditemui dalam keadaan separa sedar selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah unit apartment di Taman Megah Emas, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian sekitar pukul 10.37 pagi tadi.
“Laporan oleh komander operasi menyatakan kebakaran melibatkan sebuah rumah apartment terbakar di tingkat tiga.
“Rumah berkenaan terbakar 50 peratus di bahagian ruang tamu,” katanya dalam kenyataa hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, pemeriksaan lanjut, anggota menjumpai dua kanak-kanak iaitu seorang lelaki dan perempuan berusia anggaran empat hingga enam tahun di sebuah bilik dalam keadaan separa sedar.
Katanya, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dan dirawat oleh anggota Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) sebeljm dihantar ke Hospital Kelana Jaya Medical Centre (KJMC).
“Kedua-dua mangsa kini dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














