WASHINGTON – Dua kelasi Amerika Syarikat(AS) cedera selepas kapal pengangkut pesawat terbesar di dunia terbakar semasa aktiviti operasinya, lapor akhbar Metro.co semalam.
Kapal induk USS Gerald R. Ford milik Tentera Laut AS terbakar ketika berada di Laut Merah.
Kumpulan gempur kapal induk berkuasa nuklear itu beroperasi di Laut Merah sebagai sokongan kepada Operasi Epic Fury iaitu kod nama yang diberikan oleh Presiden Donald Trump untuk Perang menentang Iran.
Markas Pusat Tentera Laut AS berkata dalam satu kenyataan: “Pada 12 Mac (kelmarin), USS Gerald R. Ford mengalami kebakaran berpunca dari ruang dobi utama kapal. Punca kebakaran tiada kaitan dengan pertempuran dan api berjaya dikawal.
“Tiada kerosakan pada loji pendorongan kapal, dan kapal induk pesawat ini kekal beroperasi sepenuhnya,” tambah kenyataan itu.
Menurut kenyataan sama, dua kelasi sedang menerima rawatan perubatan untuk kecederaan yang tidak mengancam nyawa.
USS Gerald R. Ford mempunyai lebih 5,000 askar di atas kapal dan membawa kira-kira 75 pesawat termasuk Jet F-18 Super Hornet.
Jet-jet pejuang dilancarkan daripada dek kapal induk itu apabila Tentera Laut AS menjalankan operasi penerbangan bagi menyokong Operasi Epic Fury menentang Iran. – AGENSI














