PETALING JAYA – Pavilion Kuala Lumpur (Pavilion KL) telah melancarkan kempen Journey To Tradisi bersempena sambutan hari raya dan meraikan pengunjung ke pusat beli-belah tersebut.
Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha ,(Pelancongan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Chua Choon Hwa dan Ketua Pegawai Eksekutif (Runcit) Pavilion KL, Datuk Joyce Yap.
Ahli Lembaga Pengarah Paviliion REIT, Nor Rejina Abdul Rahim berkata, melalui kempen dan sambutan meriah ini seiring pula dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026, Pavilion KL mahu menawarkan pengalaman autentik yang memperkenalkan tradisi unik Malaysia.
“Sambutan tahun ini menghidupkan semangat Raya menerusi Journey to Tradisi, yang mengubah Pavilion KL menjadi sebuah lokasi sambutan warisan Malaysia yang penuh warna-warni.

“Ia diilhamkan oleh cahaya nostalgik pelita panjut, kempen ini direalisasikan melalui kolaborasi Astro bersama artis batik Malaysia, Farah Mohan, yang menampilkan rekaan batik halus dengan tafsiran motif tradisional dalam gaya kontemporari,” katanya dalam kenyataan.
Dipamerkan di seluruh Pavilion Kuala Lumpur, instalasi seni ini menggabungkan elemen warisan, penceritaan dan reka bentuk moden, menjadikan pusat beli-belah tersebut umpama kanvas hidup budaya Malaysia, sambil menawarkan pengalaman bermakna kepada pengunjung untuk menghayati tradisi yang mencorakkan sambutan raya.
Terdapat pelbagai aktiviti yang disusun sepanjang kempen sambutan hari raya itu dan antaranya ialah pelancaran Vanzo dan wangian baharu yang diilhamkan daripada bunga ikonik Malaysia, Ylang Ylang serta pelancaran Maybank x MOTAC VMY2026. -KOSMO! ONLINE














