fbpx
FOONG HIN

Kadar Sara Diri daging babi disasar 90 peratus menjelang 2030

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan Kadar Sara Diri (SSR) daging babi negara meningkat kepada 90 peratus menjelang tahun 2030, berbanding 67.8 peratus pada tahun 2024, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Chan Foong Hin.

Menurutnya, kadar SSR 67.8 peratus itu menunjukkan sebahagian keperluan domestik masih bergantung kepada bekalan import bagi menampung permintaan pasaran tempatan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan terus memperkukuh pengeluaran tempatan bagi meningkatkan tahap kecukupan bekalan daging babi dalam negara.

“Antara langkah dilaksanakan termasuk pengeksportan khinzir (babi) hidup dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia bagi menampung permintaan serta memperkukuh pencegahan penyakit haiwan dan zoonotik untuk meningkatkan produktiviti serta hasil ladang,” katanya pada sidang Dewan negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Wu Him Ven berhubung SSR daging babi pada tahun 2025 serta langkah-langkah intervensi kerajaan dalam mengawal kenaikan harga daging babi di pasaran.

Foong Hin berkata, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) turut mengambil beberapa langkah bagi menangani impak turun naik harga dedak ternakan global terhadap kos pengeluaran dan harga pasaran.

“Pemantauan berterusan dilaksanakan terhadap harga jualan khinzir hidup di peringkat ladang serta kos dedak ternakan. Pada tahun 2025, harga purata khinzir hidup di ladang adalah sekitar RM17.80 sekilogram,” ujarnya.

Katanya, kerajaan juga merancang penanaman jagung bijian secara berskala besar dan komersial dalam negara bagi mengurangkan 30 peratus kebergantungan terhadap jagung import menjelang tahun 2040.

Mengulas mengenai harga runcit pula, Foong Hin menjelaskan bahawa kawalan harga daging babi berada di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)

“Lazimnya, kawalan harga runcit daging khinzir hanya dilaksanakan ketika musim perayaan menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI