BENTONG – Seorang lelaki warganegara Indonesia dijatuhkan hukuman penjara selama setahun kerana didapati bersalah memiliki MyKad palsu.
Majistret Muhamad Aiman Azahan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Minanse, 67, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Mengikut kertas pertuduhan pada pukul 10.30 pagi 7 Mac lalu berhampiran persimpangan Taman Wangi di sini tertuduh tanpa kuasa yang sah memiliki dokumen pengenalan palsu atas nama Nissar bin Radin, nombor kad pengenalan 620908-71-5573 ketika semakan dokumen dibuat ke atas tertuduh semasa operasi dijalankan Jabatan Pendaftaran Negara.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25 (1) (e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang boleh dihukum di bawah akta yang sama.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Fakhrol Anuar Sani dan Mohd Nurhisyam Mohd Sofian manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-KOSMO! ONLINE














