BANDAR RAYA NEW YORK – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla dan SpaceX, Elon Musk mengekalkan kedudukan sebagai individu terkaya dunia apabila nilai bersih kekayaannya mencecah AS$839 bilion (RM3.2 trilion), lapor akhbar Arab News.
Musk mendahului senarai Forbes World’s Billionaires untuk tahun kedua berturut-turut apabila nilai kekayaannya meningkat kira-kira AS$500 bilion (RM1.9 trilion) dalam tempoh setahun, didorong oleh lonjakan penilaian di Tesla dan SpaceX yang menyasarkan penawaran awam pada 2026.
Beliau merupakan manusia pertama yang pernah melepasi angka AS$800 bilion (RM3.1 trilion) dan berpotensi menjadi trilionair pertama di dunia.
Lonjakan mendadak dalam kekayaan Musk berlaku selepas Tesla menyaksikan saham pengeluar kenderaan elektrik itu menjunam pada musim bunga.
Kejatuhan tersebut berlaku disebabkan boikot pengguna kerana sokongannya terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan beberapa ahli politik yang lain.
Namun, saham Tesla meningkat semula pada separuh kedua 2025 selepas Musk meninggalkan peranannya dalam pentadbiran Trump.
Senarai majalah Forbes itu dibuat berdasarkan penilaian pada 1 Mac 2026. – AGENSI














