KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha berharap orang ramai berhati-hati bagi mengelak menjadi mangsa penipuan ‘scammer’ yang menjual slot tempahan restoran Rembayung milik Khairul Aming dalam media sosial seperti sebagaimana berlaku kepadanya baru-baru ini.
Menurut Daiyan, 33, perkongsiannya baru-baru ini bukan mahu menagih simpati sebaliknya ingin menyebarkan kesedaran kepada orang agar tidak mudah mempercayai mana-mana individu dalam media sosial sehingga boleh membawa kerugian wang ringgit.
“Sebenarnya kami beli slot tempahan tersebut daripada individu bernama Dayang dalam platform Threads tetapi sebenarnya saya sudah rasa ragu-ragu.
“Jadi, kami pun macam bersedia sekadar 50/50, kalau kena ‘scam’, kami pergilah ke restoran lain. Jika ada rezeki, alhamdulillah.
“Rupa-rupanya memang kena ‘scam’ dan nama individu berkenaan ialah Dayang, saya masih simpan nombor akaun dia! Bila nak tengok balik, akaun Threads Dayang sudah tidak wujud,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis rakaman Melodi Raya di sini, semalam.
Berkongsi jumpah kerugian, dia memberitahu bukan dalam amaun yang besar, namun simpati kepada mana-mana individu yang datang dari lokasi jauh dan menjadi mangsa penipuan individu tidak bertanggungjawab.
“Disebabkan kena scam, saya rugi sekitar RM120. Tidaklah terlalu marah sebab ketika itu saya tenang saja cuma kasihan pada mereka yang mungkin bawa ibu bapa atau datang dari jauh seperti dari Kelantan atau Perlis nak makan di Rembayung, kemudian kena ‘scam’.
“Macam mana dia boleh sanggup buat benda ini pada bulan puasa? Tanggunglah dosa,” ujarnya.
Kata Daiyan, pada awalnya dia tiada niat untuk berkongsi perkara tersebut kepada umum namun sekadar ingin memberi peringatan kepada mana-mana individu yang berniat melakukan perkara sedemikian.
“Hari biasa pun tak okey, apatah lagi pada bulan Ramadan, memang sangat tidak baik,” jelasnya.
Terdahulu, Daiyan menerusi sebuah video berkongsi momen dia dan pasukannya menjadi mangsa ‘scam’ individu yang menjual slot tempahan restoran Rembayung baru-baru ini.
Dia juga sempat berseloroh mahu meminta Khairul Aming menangkap individu berkenaan. – KOSMO! ONLINE














