PETALING JAYA – Seramai 3,300 asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerima sumbangan tunai RM200 seorang menerusi Program Nur Ramadan 2026, sekali gus mencatat jumlah penerima tertinggi berbanding Putrajaya dan Labuan.
Program yang menjadi inisiatif tahunan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) sepanjang Ramadan itu dilaksanakan secara berperingkat melibatkan 11 kawasan Parlimen di ibu negara bagi memperkukuh hubungan antara kerajaan, agensi dan komuniti setempat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, program tersebut bukan sahaja menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan, malah menjadi platform mengimarahkan Ramadan dengan pendekatan mesra rakyat serta penglibatan langsung masyarakat.
“Program ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan golongan memerlukan terus diberi perhatian, selain mengeratkan hubungan antara kerajaan dan komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain bantuan tunai kepada asnaf, JWP turut menyalurkan sumbangan khas sebanyak RM5,000 kepada Masjid Wilayah Persekutuan, Sekolah Rendah Agama Ibnu Kathir dan Madrasah Manbaul Uloom bagi menyokong aktiviti pendidikan serta pembangunan komuniti setempat.
Bantuan berkenaan diharap dapat meringankan beban kos sara hidup penerima serta membantu mereka membuat persiapan menjelang Aidilfitri dengan lebih bermakna bersama keluarga. – KOSMO! ONLINE














