SEGAMAT – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) didakwa berkelakuan tidak senonoh dengan melakukan onani dalam keadaan separuh bogel di dalam sebuah masjid di Bukit Siput dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Muhammad Nor Hidayat Yusof, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rahimah Abdul Majid.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau dengan beronani di hadapan seorang wanita pada kira-kira pukul 11.15 pagi, 4 Mac lalu di Masjid Al-Muhajirin, Bukit Siput, di sini..
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aina Muhammad Ismail memaklumkan tertuduh tidak mempunyai pekerjaan tetap dan mencadangkan wang jaminan yang tidak terlalu tinggi.
Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh yang menetap di Kuala Nerus, Terengganu dikatakan tinggal bersama ibu bapanya serta 15 ahli keluarga lain termasuk lapan adik-beradik yang masih bersekolah.
Mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran alamat rumahnya di Kuala Nerus sepanjang tempoh prosiding kes.
Mahkamah menetapkan 28 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, pada 4 Mac lalu, tular rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di media sosial memaparkan seorang lelaki melakukan perbuatan tidak senonoh dalam keadaan separuh bogel di dalam sebuah masjid di Bukit Siput.
Kurang 24 jam selepas kejadian itu, polis berjaya menahan suspek kira-kira pukul 3.15 pagi pada 5 Mac lalu di Taman Air Biru, Pasir Gudang hasil operasi sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.-KOSMO! ONLINE














