KUALA LUMPUR – Sebanyak 46 projek berkaitan hakisan pantai dan muara sungai telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13)
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, sebanyak 19 projek itu berada di peringkat pelaksanaan.
Kata beliau, sebanyak 24 projek lain di peringkat pra-pelaksanaan, manakala tiga projek berada di peringkat pasca pelaksanaan.
“Bagi Terengganu, sehingga kini terdapat 10 projek dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM1.57 bilion.
“Lima projek sedang dalam pelaksanaan, empat projek di peringkat pra-pelaksanaan dan satu projek di peringkat pasca pelaksanaan,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Che Alias Hamid berhubung kekangan kerajaan dalam mewujudkan dana kontingensi mitigasi hakisan pantai di kawasan berisiko tinggi seperti Terengganu.
Abdul Rahman berkata, Petra tidak mempunyai dana kecemasan khusus bagi hakisan pantai san sebarang tindakan jangka pendek dilakukan berdasarkan kajian teknikal dan penilaian risiko.
Beliau menekankan kerjasama kerajaan negeri amat penting bagi membantu pelaksanaan langkah mitigasi tambahan dan menyokong komuniti setempat.
Bagi kawasan berisiko tinggi, katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan pendekatan jangka panjang merangkumi kaedah struktur dan bukan struktur.
Jelas beliau, dalam kaedah bukan struktur, JPS melaksanakan Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (ISMP) yang berfungsi sebagai dokumen perancangan strategik bagi zon persisiran pantai.
Katanya, sehingga kini, sebanyak 11 ISMP telah disiapkan termasuk ISMP Terengganu yang telah disiapkan pada 2022, manakala enam lagi dalam pelaksanaan di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE














