PUTRAJAYA – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 akan diumumkan pada 31 Mac ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, seramai 413,299 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu di 3,350 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Menurut KPM, calon sekolah boleh mendapatkan keputusan peperiksaan masing-masing di sekolah mulai pukul 10 pagi pada tarikh tersebut, manakala calon persendirian pula, mereka boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mendaftar untuk memperoleh keputusan peperiksaan.
“Pihak sekolah hendaklah memastikan pengurusan penyerahan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2025 kepada calon dilaksanakan secara cekap dan teratur,” katanya.
Menurutnya, calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan secara dalam talian menerusi pautan myresultspm.moe.gov.my bagi mendapatkan slip keputusan bermula pukul 10 pagi pada 31 Mac ini hingga pukul 6 petang, 6 April depan.
“Semakan juga boleh dibuat melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPM jarak NoKP jarak AngkaGiliran dan menghantarnya ke 15888.
“Sistem tersebut akan diaktifkan bermula pukul 10 pagi, 31 Mac hingga pukul 6 petang, 6 April,” katanya.
KPM turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua calon SPM 2025 serta berharap kejayaan yang diraih menjadi pemangkin untuk terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan. – KOSMO! ONLINE














