LONDON – Legenda Formula Satu (F1), Martin Brundle percaya pertarungan dalaman di Ferrari bakal menjadi ujian sebenar buat Lewis Hamilton menjelang musim 2026.
Menurut Brundle, kejayaan lalu Hamilton tidak lagi memberi kelebihan sekiranya dia gagal menandingi kelajuan rakan sepasukan, Charles Leclerc dalam era baharu peraturan F1.
Hamilton yang bakal memulakan musim ke-20 dalam kariernya pada aksi pembuka tirai di Grand Prix (GP) Australia hujung minggu ini turut memasuki musim 2026 pada usia 41 tahun.
Situasi itu, menurut Brundle, memberi cabaran besar buat Hamilton kerana kebanyakan pelumba muda kini memiliki pengalaman luas selepas beraksi dalam ratusan perlumbaan.
“Charles berada di depan Lewis musim lalu, sama seperti George Russell ketika mereka di Mercedes, tetapi tidak seteruk itu. Sekarang kita akan lihat sama ada Lewis masih mempunyai sesuatu yang tersisa,” kata Brundle.
Musim lalu menyaksikan Leclerc jelas menguasai persaingan dalaman apabila menewaskan Hamilton 19-5 dalam sesi kelayakan serta 18-3 dalam keputusan perlumbaan.
Justeru, Brundle menegaskan Hamilton sekurang-kurangnya perlu berada sebaris dengan kelajuan Leclerc sekiranya mahu terus kekal kompetitif di Ferrari.
“Ia bukan sekadar hampir dengan Charles atau berada dalam kelompok teratas. Dia perlu berada tepat pada kelajuan Leclerc atau lebih pantas,” jelasnya. – AGENSI














