PUTRAJAYA- Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui krisis dan konflik yang berpanjangan di Asia Barat mampu memberi tekanan kepada harga minyak di negara ini.
Perdana Menteri berkata, ketika ini, kerajaan masih lagi mampu bertahan termasuk mengekalkan harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter.
“Kita akan cuba kawal termasuk RON95 sekadar RM1.99. Kita akan memantau perkara ini kerana setakat ini kita masih boleh bertahan dalam tempoh satu dua bulan, tetapi petanda-petanda awal tidak begitu baik dan menyenangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Musolla IOI City Mall, di sini hari ini.
Katanya, setakat ini, penutupan Selat Hormuz dilihat telah menjejaskan pergerakan dan perjalanan 200 kapal-kapal besar sekali gus menyumbang kepada kenaikan harga minyak global.
Anwar berkata, beliau juga mengakui bahawa krisis berkenaan juga mampu memberi kesan dan menjejaskan ekonomi serta geopolitik di rantau ini.
“Buat sementara ini, nampak masih terkawal tapi kita tahu bahawa kapal-kapal minyak dan gas dan peralatan itu tersangkut di Selat Hormuz sudah melebihi 200 kapal.
“Dan tentunya akan menjejaskan dari segi perniagaan, perdagangan, begitu juga tentang kos pengangkutan yang meningkat kerana jalan yang lebih jauh yang terpaksa digunakan,” katanya.
Katanya, kerajaan pastinya akan mengambil langkah segera khususnya memantau kesan langsung terhadap sektor import negara.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau menasihatkan kepada seluruh rakyat supaya berwaspada dengan perkembangan terbaharu krisis global ini.
“Saya syor supaya semua masyarakat, rakyat, kalangan penjawat awam, pekerja dan peniaga supaya waspada tentang perkara ini dan jangan pandang ringan.
“Ini akan menjadi satu krisis ekonomi yang lebih besar daripada yang dijangka. Jadi yang boleh cermat, berhati-hati mulai sekarang,” katanya. – KOSMO! ONLINE














