fbpx
Antara barisan pemimpin parti yang hadir ke Musyawarah Isu-isu Islam dan Bumiputera yang berlangsung di WTC, Kuala Lumpur, petang tadi. Foto FACEBOOK ASYRAF WAJDI DUSUKI.

8 parti politik berhimpun, Musyawarah Isu-isu Islam, Bumiputera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Satu sejarah baharu tercipta apabila parti-parti politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera dari pelbagai blok politik berhimpun dalam Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera yang berlangsung petang tadi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pertemuan yang diadakan di Ibu Pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur itu menghimpunkan sebanyak lapan parti politik utama.

Beliau berkata, parti-parti tersebut adalah UMNO, Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amanah, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), BERJASA, KIMMA dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).

“Saya diamanahkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk mempengerusikan musyawarah kali pertama ini yang dicetuskan beliau untuk menghimpunkan pelbagai parti-parti tidak kira dari blok kerajaan mahupun pembangkang demi maslahah ummah dan Islam.

“Musyawarah ini menjadi wahana penting untuk bertukar pandangan secara terbuka demi mencari titik persefahaman dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan bersama yang melibatkan Islam, Melayu dan Bumiputera di negara ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Asyraf Wajdi berkata, realitinya dalam sistem demokrasi, parti-parti politik boleh berbeza pandangan sama ada berada di blok kerajaan mahupun pembangkang.

“Perbezaan itu adalah lumrah dalam politik. Namun apabila menyentuh soal kepentingan Islam, kedudukan Melayu serta masa depan Bumiputera, ia seharusnya menjadi titik temu yang menyatukan kita semua melangkaui perbezaan politik kepartian,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, dalam musyawarah itu juga, semua parti yang hadir bersetuju untuk menubuhkan Sekretariat Musyawarah Parti-Parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera.

Sekretariat tersebut akan berfungsi sebagai platform bagi menyediakan ruang perbincangan, rundingan dan dialog secara terbuka, telus serta berterusan mengenai isu-isu berkepentingan bersama yang menyentuh kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera di Malaysia.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI