KEMAMAN – Seorang budak lelaki berusia 10 tahun cedera selepas dipercayai terkena peluru senapang angin yang dilepaskan jirannya di Felda Seberang Tayor, di sini, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3.45 petang, murid tahun empat sebuah sekolah di daerah ini itu mengalami kecederaan pada bahagian belakang sebelah kiri badan.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, kejadian berlaku sewaktu kanak-kanak lelaki tersebut sedang bermain bersama abangnya di hadapan rumah mereka sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan.
“Bahagian belakang badan berhampiran bahu kiri terus berasa sakit membuatkan dia menangis.
“Sebiji bebola besi bewarna perak yang disyaki digunakan untuk menembak anaknya ditemui bapa kanak-kanak itu tidak lama kemudian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Razi berkata, jiran mereka yang juga buruh ladang berusia 58 tahun telah ditahan bersama dua laras senapang angin buatan sendiri serta sembilan biji bebola besi.
Beliau berkata, ujian urin mendapati suspek positif dadah jenis morfin selain memiliki 10 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah. – KOSMO! ONLINE














