JOHOR BAHRU – Tindakan sekumpulan penjenayah menyamun seorang usahawan warga Pakistan dan membawa lari wang tunai sebanyak RM500,000 di hadapan sebuah bank di Pasir Gudang di sini minggu lalu tidak bertahan lama apabila kesemua suspek berjaya diberkas polis dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian.
Lebih mengejutkan, kumpulan itu hanya sempat membelanjakan kira-kira RM12,000 daripada wang hasil samun sebelum diberkas dalam beberapa serbuan di sekitar Seri Alam dan Tampoi, di sini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, pihaknya menahan lapan individu termasuk seorang wanita tempatan berketurunan Pakistan berusia antara 23 hingga 53 tahun bagi membantu siasatan.
Menurutnya, salah seorang suspek dipercayai mengenali mangsa yang merupakan ahli perniagaan berusia 45 tahun, manakala tujuh lagi adalah rakan jenayahnya.
“Pada 24 Februari lalu, polis menerima laporan mengenai kejadian samun di kawasan parkir kenderaan berhampiran sebuah bank di Pusat Perdagangan Pasir Gudang melibatkan kerugian sebanyak RM500,000.
“Ketika mangsa keluar dari bank bersama isterinya untuk menuju ke kereta, dia didatangi dua lelaki tidak dikenali yang mengacukan pistol sebelum merampas dua beg berisi wang tunai,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Tambah beliau, susulan maklumat risikan, polis melancarkan operasi khas di beberapa lokasi sekitar Seri Alam dan Tampoi sebelum berjaya menahan kesemua suspek yang terlibat.
“Dalam operasi itu, polis turut berjaya merampas semula wang tunai sebanyak RM487,350 selain menyita dua buah kereta serta sepucuk pistol angin yang dipercayai digunakan dalam kejadian samun berkenaan,” katanya.
Menurut Ab. Rahaman, kumpulan penjenayah itu terdiri daripada tiga ahli perniagaan, seorang peniaga makanan, dua mekanik serta dua penganggur, malah salah seorang daripada suspek merupakan individu lumpuh separuh badan.
“Hasil semakan mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 399, Seksyen 412, Seksyen 395 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960,” katanya.
Beliau berkata, kesemua suspek direman bagi membantu siasatan dan enam daripada mereka dijangka didakwa di mahkamah esok, manakala dua lagi akan dibebaskan untuk dijadikan saksi pendakwaan. – KOSMO! ONLINE














