fbpx
KETUA Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman (dua dari kanan) menunjukkan kabel ECRL yang dirampas di Temerloh pada September tahun lalu.

Sudah tiba masanya pencuri kabel dijel 10 tahun, denda RM100,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kegiatan curi kabel yang semakin berleluasa di seluruh negara sejak kebelaka­ngan ini mencetuskan kemarahan dan kebimbangan rakyat apabila jenayah itu bukan sahaja menjejaskan kemudahan awam, malah turut mengancam nyawa orang ramai.

Lebih membimbangkan apabila terdapat kes curi kabel yang dilakukan secara terbuka oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan cara menarik kabel menggunakan kende­raan selain meninggalkan penutup lubang dalam keadaan terbuka.

Susulan itu, orang ramai mendesak pihak berkuasa dan kerajaan untuk menggubal serta menguatkuasakan hukuman lebih berat terhadap pesalah curi kabel bagi membendung jenayah tersebut daripada terus berulang.

Kecurian kabel tidak hanya melibatkan perkhidmatan KTM Komuter, malah turut berlaku dalam sistem rel bandar, syarikat telekomunikasi serta elektrik sehingga menyebabkan gangguan bekalan, kelewatan perjalanan tren dan masalah talian.

Untuk rekod, beberapa pesalah telah diheret dan dijatuhi hukuman di mahkamah atas kesalahan mencuri kabel di bawah Seksyen 379 Kanun Ke­seksaan yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun atau denda.

Ini termasuk kes di Mahkamah Majistret Shah Alam kelmarin apabila lima individu termasuk tiga wanita didenda RM5,000 atas kesalahan tersebut.

Bagaimanapun, hukuman denda dan penjara yang terlalu ringan itu seolah-olah gagal mengekang kegiatan curi kabel, sekali gus mencetuskan desakan orang ramai.

Di Kota Bharu, Kelantan, se­orang kontraktor, Ariffin Mat, 69, mendesak agar hukuman penjara lebih 10 tahun dan denda lebih RM100,000 dikenakan ter­hadap pencuri kabel kerana telah menyebabkan kerajaan menanggung kerugian besar.

“Seperti yang kita tahu, kabel yang dicuri itu melibatkan kabel sistem telekomunikasi, pencawang elektrik dan kawasan landasan kereta api.

“Kecurian kabel telah menyebabkan sistem tergendala se­hingga mendatangkan bahaya kepada orang ramai.

“Saya berharap kerajaan mengenakan hukuman penjara le­bih 10 tahun dan denda melebihi RM100,000 kepada pesalah yang terlibat.

“Kadang-kadang modus operandi yang mereka lakukan tidak disedari oleh orang ramai se­hingga berlaku risiko kepada penduduk setempat,” katanya.

Di Alor Setar, Kedah, kakitangan awam, Nur Faizah Abd. Halim, 38, berkata, kecurian kabel terutama melibatkan KTM Komuter, syarikat telekomunikasi dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) amat menyusahkan orang ramai.

“Banyak kes dilaporkan sejak kebelakangan ini, malah di media sosial pun ada rakaman kegiatan curi kabel. Mereka berani tarik kabel guna kereta secara terbuka,” katanya.

Menurutnya, kecurian kabel KTM Komuter mengakibatkan gangguan perkhidmatan dan jelas menyusahkan penumpang.

“Paling ditakuti apabila jenayah itu turut memberi risiko besar kepada nyawa manusia sekiranya sistem pergerakan komuter terganggu,” katanya.

Peniaga, Jefri Raziman, 45, pula berharap pelaku dikenakan tindakan tegas memandangkan kegiatan itu semakin serius.

“Tangkap dan kenakan hukuman penjara serta denda yang tinggi. Perbuatan curi kabel ini memang tidak boleh diterima kerana ia mengancam keselamatan dan boleh menjejaskan nyawa orang awam,” jelasnya.

Katanya, terdapat penutup lubang (manhole) yang dibiarkan terbuka selepas kabel dicuri sehingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, kes kecurian kabel kerap berlaku terutama di kawasan terpencil.

“Ia sangat menyusahkan pengguna apabila berlaku gangguan bekalan elektrik dan perkhidmatan komuter.

“Selain itu, terdapat juga kecurian di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan jenayah ini mengakibatkan kerugian jutaan ringgit,” katanya.

Justeru, beliau berharap pencuri serta pembeli kabel curi dikenakan hukuman lebih berat sebagai langkah pencegahan.

“Apabila hukuman berat dilaksanakan, orang akan takut mencuri kabel. Penguatkuasaan juga perlu lebih tegas,” tambah­nya.

KETUA Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar menunjukkan antara peralatan dan barang rampasan berkaitan kes curi kabel pada sidang akhbar di Shah Alam.

Di George Town, Pulau Pinang, Faridah Hassan, 45, berharap agar pembeli kabel di melibatkan premis-premis kitar semula turut dikenakan tindakan setimpal.

“Pembeli ini seolah-olah menyokong tindakan jenayah terbabit dan membantu menjana pendapat haram si pelaku.

“Jika dibiarkan berterusan dan pihak berkuasa juga masih tidak menguatkuasakan hukuman lebih berat, maka saya percaya sindiket curi kabel akan menjadi ‘barah’ sehingga sukar dibendung di negara ini.

“Justeru, sudah tiba masanya pihak kerajaan menerusi perundangan menguatkuasakan hukuman berat tanpa kompromi terhadap si pelaku sama ada wanita atau lelaki,” katanya.

 

Seksyen 379 Kanun Keseksaan perlu ditambah baik, hukuman setimpal

PETALING JAYA – Peruntukan kesalahan mencuri di bawah Kanun Keseksaan khususnya Seksyen 379 perlu ditambah baik dengan lebih spesifik bagi menangani kes kecurian kabel agar hukuman yang dikenakan adalah lebih setimpal.

Peguam Jenayah dan Sivil, Nur Fazrin Ahmad berkata, secara lazimnya Seksyen 379 memang merangkumi kesalahan mencuri, namun ia wajar diperincikan de­ngan peruntukan kecil agar terdapat pecahan lebih jelas mengikut jenis kesalahan dan nilai barang yang dicuri.

Menurutnya, pengkhususan itu penting bagi memastikan tidak semua kes diletakkan di bawah satu kategori sama tanpa mengambil kira jumlah kecurian atau keadaan sesuatu kes.

“Peruntukan itu boleh dikekalkan, tetapi mungkin patut tambah pecahan yang lebih spesifik. Contohnya berdasarkan jumlah barang yang dicuri supaya hukuman lebih jelas dan setimpal,” katanya semalam.

Beliau menjelaskan, dalam kes kecurian kabel misalnya, jumlah kerugian dan keadaan tempat kejadian perlu diambil kira sebelum sesuatu pertuduhan dibuat.

“Kalau jumlah kecurian itu kecil, mungkin hukuman berbeza. Kita boleh spesifikkan contoh­nya jumlah bawah RM500 atau bawah RM1,000 berapa kadar denda atau tempoh penjara,” katanya.

Bagaimanapun katanya, sebarang pindaan terhadap Seksyen 379 perlu dibuat secara telus dan adil agar sistem keadilan kekal seimbang serta tidak dilihat terlalu keras atau tidak munasabah.

Sementara itu, Pakar Kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, kegiatan mencuri kabel tidak boleh lagi dianggap sebagai kesalahan di bawah peruntukan kecurian semata-mata, sebaliknya perlu diklasifikasikan sebagai jenayah serius.

Katanya, ini kerana kes kecurian kabel kini bukan sahaja menyebabkan kerugian jutaan ringgit, malah mengancam keselamatan nyawa dan negara.

“Curi kabel bukan sekadar ambil harta orang. Ia boleh memutuskan rangkaian telekomunikasi, melumpuhkan operasi perkhidmatan penting dan berpotensi menyebabkan kemalangan jiwa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN