PETALING JAYA – “Kalau nak bersedekah, bukan gelandangan saja. Pergi hospital, duduk kejap dekat kawasan kecemasan. Tengok sendiri…”
Itu cadangan seorang lelaki kepada pihak yang ingin bersedekah dan sering menjadikan gelandangan sebagai sasaran untuk berbuat demikian.
Individu itu menerusi media sosial berkata, ada kelompok individu yang berdepan kekangan tertentu berada di sekitar hospital amat menantikan bantuan sebegitu.
“Tengok sendiri. Ada yang tunggu dari pagi sampai malam. Sekotak air, sebungkus makanan…boleh jadi sangat bermakna masa tu,” katanya.
Hantarannya itu meraih pelbagai respons orang ramai yang rata-rata bersetuju dengan cadangan tersebut.
“Stok makanan untuk gelandangan dah berlebihan, tambahan bulan puasa ni. Rasanya NGO dah boleh cuba sasarkan orang yang tengah menunggu dekat unit kecemasan hospital, pelajar, penghantar makanan atau tukang cuci. Mungkin mereka lebih memerlukan,” ujar @Shaz.
“Setuju. Berdasarkan pengalaman, kadang-kadang waris takut nak ke mana-mana. Risau doktor cari terutamanya di zon merah,” komen @Mrsfaridah_.
“Setuju sangat. Saya pernah jaga arwah mak di wad. Satu hari tak makan, dari pukul 12 tengah malam arwah tunggu giliran untuk naik atas sampai la petang esoknya baru dapat makan nasi,” kata pengguna lain. – KOSMO! ONLINE














