SANDAKAN – Kerjasama antara RG Food Industries Sdn. Bhd. (RGFI) dan Hotel Elopura membuka laluan baharu kepada produk makanan tradisional Perlis untuk menembusi pasaran Sabah secara lebih tersusun dan berskala komersial.
Majlis pelancaran kerjasama yang disaksikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semalam menjadi platform memperkenalkan Kurma Daging Perlis, Kurma Ayam Perlis dan Pekasam Timah Tasoh di bawah jenama Duwan Easy Eat ke pasaran Borneo.
Langkah tersebut bukan sekadar peluasan pasaran, malah strategi memperkukuh rantaian nilai industri makanan tempatan dari pengeluaran, pemprosesan hingga pemasaran rentas wilayah.
Melalui persefahaman tersebut, Hotel Elopura akan bertindak sebagai ejen pemasaran rasmi di Sabah, manakala RGFI menumpukan kepada pengeluaran berskala lebih besar bagi memenuhi potensi permintaan baharu.
Kerjasama itu turut melibatkan pembangunan produk Sambal Soqot, menu tradisi Sandakan berasaskan isi durian merah yang akan diproses menggunakan teknologi Thermal Decontamination System (TDS).
Penggunaan teknologi berkenaan membolehkan produk tahan lebih lama pada suhu bilik tanpa menjejaskan rasa asal, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran dalam rangkaian runcit dan logistik jarak jauh.
Inovasi itu dijangka bakal memberi kelebihan daya saing kepada produk tempatan berbanding kaedah konvensional, yang memerlukan penyimpanan sejuk beku.
Dari sudut ekonomi, kolaborasi ini memperlihatkan model simbiosis antara pengeluar makanan dan pemain industri hospitaliti bagi memperluas capaian pasaran serta mengoptimumkan kos pengedaran. – KOSMO! ONLINE














