fbpx
Kotak berisi minyak masak peket yang disimpan di dalam sebuah rumah terbengkalai di Kampung Bunohan, Tumpat semalam. FOTO IHSAN KPDN

Rumah terbengkalai jadi transit simpan minyak masak, gula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TUMPAT – Taktik sindiket penyeludupan yang menjadikan sebuah rumah terbengkalai di Kampung Bunohan di sini untuk menyimpan lebih tiga tan minyak peket dan gula bernilai hampir RM8,000 terbongkar selepas penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu kediaman tersebut semalam.

Serbuan dijalankan kira-kira pukul 5.50 petang selepas Unit Risikan dan Tindakan Khas KPDN dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah 3 Pengkalan Kubor mengesan kegiatan mencurigakan di rumah tersebut.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, ketika serbuan, seorang lelaki berusia 50 tahun dicekup manakala tiga lagi lelaki yang sedang memunggah barangan subsidi itu melarikan diri ke kawasan sawah dan semak berhampiran.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati, rumah tersebut dijadikan dijadikan transit untuk menyimpan minyak masak dan gula sebelum dibawa menggunakan kenderaan ke kawasan sempadan Malaysia–Thailand.

“Dua buah kereta jenis Proton Iswara dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V yang dipenuhi dengan kotak-kotak berisi gula ditemukan berada di kawasan rumah tersebut.

“Secara keseluruhan, rampasan itu melibatkan sebanyak 2,176 kilogram (kg) minyak masak peket bernilai RM5,440 dan 888 kg gula pasir bernilai RM2,530 dengan jumlah keseluruhan RM7,970,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Aswadi memberitahu, tiga kenderaan yang digunakan untuk mengangkut kesemua barangan subsidi itu dianggarkan bernilai RM25,000 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN