fbpx
Pesawat perang tentera AS berada di atas dek kapal pengangkut pesawat kelas Nimitz, USS Abraham Lincoln di lokasi yang tidak didedahkan pada 28 Februari lalu. – AFP

Perang 4 minggu walaupun Iran kuat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menjangkakan perang dengan Iran berlarutan selama empat minggu ketika beliau mengumumkan bahawa pemerintahan tertinggi rejim itu telah dihapuskan, lapor akhbar The Sun UK kelmarin.

Trump mendedahkan dalam komen berasingan bahawa seramai 48 pegawai kanan tentera Iran terbunuh, manakala sembilan kapal perang musnah setakat kelmarin, dalam operasi yang ‘mendahului jadual’.

Tiga anggota tentera AS terbunuh dalam pertempuran semasa kempen ketenteraan digelar ‘Epic Fury’ itu, selepas Iran melancarkan rentetan serangan balas di seluruh Asia Barat.

Trump kini meletakkan garis masa untuk konflik tersebut sambil menambah, beliau menjangkakan lebih banyak korban akan menyusul.

“Ia sentiasa menjadi proses selama empat minggu. Kami menjangkakan ia (perang) mengambil masa kira-kira empat minggu.

“Walaupun (Iran) kuat, ia adalah negara besar, ia akan mengambil masa empat minggu atau kurang,” kata Trump ketika bercakap kepada akhbar Daily Mail.

Trump juga mengakui tiga askar AS terkorban, namun identiti mereka masih belum didedahkan.

Mereka adalah korban pertama semasa penggal kedua beliau sebagai presiden, selepas penangkapan bekas Presiden Venezuela, Nicolas Maduro. Pengeboman kemudahan nuklear Iran pada Jun tahun lalu berjaya dilakukan tanpa satu pun kematian warga Amerika.

Lima lagi askar cedera parah dalam serangan itu, yang kemudiannya disahkan berlaku di Kuwait.

“Beberapa yang lain mengalami kecederaan akibat serpihan peluru ringan dan gegaran. Mereka sedang dalam proses dikembalikan bertugas.

“Operasi tempur utama berterusan dan usaha tindak balas kami sedang dijalankan,” katanya.

Selain itu, Trump turut mengakui bahawa terdapat kemungkinan besar lebih banyak korban daripada pihak AS yang akan menyusul semasa kempen berdarah itu.

Dalam catatan di platform Truth Social, beliau menulis, operasi tempur berterusan pada masa ini dengan kekuatan penuh, dan ia akan berterusan sehingga semua objektif mereka dicapai.

Sementara itu, Trump berkata, beliau terbuka untuk lebih banyak rundingan dengan Iran, tetapi tidak dapat menyatakan sama ada ia akan berlaku dalam masa terdekat.

“Saya tidak tahu,” jawabnya.

“Mereka (Iran) mahu, mereka mahu berbincang, tetapi saya katakan anda sepatutnya bercakap minggu lepas, bukan minggu ini,” katanya ketika bercakap dari rumah peranginannya di Mar-a-Lago, Florida, tempat beliau berlindung sejak mengarahkan serangan ke atas Iran.

Trump turut menggesa pemimpin-pemimpin Iran untuk menghentikan pertempuran yang kini merebak ke seluruh Asia Barat, dengan peluru berpandu menghujani Israel, negara-negara Teluk, dan ke atas pangkalan tentera Amerika di rantau itu.

“Saya sekali lagi menggesa Pengawal Revolusi, polis dan tentera Iran untuk meletakkan senjata dan menerima imuniti penuh atau berdepan kematian yang pasti,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN