KUALA LUMPUR – Kimpton Naluria Kuala Lumpur meraikan kedatangan
tetamunya untuk menikmati hidangan berbuka puasa yang luar biasa menerusi hidangan bufet yang menggabungkan cita rasa Malaysia dan Barat.
Sepanjang bulan Ramadan sehingga 19 Mac ini, restoran Tuai + Till di hotel ini mengetengahkan konsep pengalaman menjamu selera bermusim Rasa Naluria: Sambal Warisan, yang menjadikan sambal sebagai bintang utama meja santapan, bukan sekadar sajian sampingan, tetapi kisah utama dalam hidangan yang disediakan.
Menurut Pengurus Besarnya, Paul Cunningham, sambal bukan setakat perasa yang digemari oleh semua orang tetapi juga berkaitan dengan kisah inspirasi yang diraikan.
“Pada tahun ini, kami meraikan warisan tersebut di mana sambal menjadi inti pati pengalaman menjamu selera istimewa kami, dengan pemadanan sajian Malaysia dan juga masakan kegemaran Barat secara kreatif, memaparkan nikmat rasa, ikatan dan budaya bersama.

“Keunikan dalam segala makanan yang dihidangkan ini ialah setiap pilihan diketengahkan berasaskan kenangan masa kecil pasukan kulinari kami sendiri, dan disediakan oleh cef-cef yang telah menikmati segala juadah ini semasa zaman kanak-kanak mereka,” katanya pada majlis prebiu bufet Ramadan di hotel tersebut baru-baru ini.
Menjelas lebih lanjut mengenai aneka sambal yang ditawarkan, ia terdiri daripada pelbagai pilihan sambal tradisional daripada sambal belacan yang pedas padu dan sambal budu menyelerakan kepada sambal mangga masam-masam manis, tempoyak asli, kerisik, dan bawang wangi semerbak yang mana setiap satunya menambah perisa yang tersendiri dalam hidangan.
Antara menu yang dihidangkan untuk tetamu berbuka puasa adalah gulai tempoyak ikan patin yang digandingkan dengan sambal hitam dari
Pahang, sotong bakar yang disajikan bersama sambal budu dari Kelantan dan Terengganu manakala pucuk ubi masak lemak putih sedap dimakan bersama sambal hijau dari Padang.

Terdapat juga hidangan gril dan panggang, daging masak jintan yang digandingkan dengan sambal belacan yang pedas, itik salai masak
lemak cili api dihidangkan bersama sambal tomato Jawa beserta ikan bakar yang sedap dimakan dengan sambal mangga dari Perlis dan Kedah.
Selain sambal, tetamu juga dapat menikmati sajian utama seperti kambing bakar, Nasi Kabsa Harissa dan Salsa Kabsa Salai, pelbagai hidangan makanan laut termasuk kaki ketam salji, udang kipas, udang harimau dan udang air tawar yang lazat dicecah sos resipi khas buatan air tangan sendiri.
Terdapat juga hidangan dingin gourmet serba menarik dengan Tuna Tataki, Salmon Salai, Barramundi Diawet Sitrus dan juga pelbagai jenis nasi pulut tradisional, termasuk lemang pulut dan ketupat palas pulut hitam yang dimakan bersama serunding ayam dan serunding daging.
Untuk pencuci mulut pula, tetamu boleh nikmati gabungan manisan cili mangga coklat asal tunggal dan karamel krim kelapa yang sedap manis selain kuih muih klasik seperti onde-onde, kuih seri muka selain hidangan istimewa
seperti baklava, basbousa, serawa durian dengan roti jala pandan. -KOSMO! ONLINE














