PETALING JAYA – Syarikat milikan penuh Bumiputera, VFive Group Sdn. Bhd. melancarkan strategi jangka panjang baharu yang dirangka bagi memastikan kelangsungan dan kemampanan organisasi merentas generasi sehingga 50 hingga 100 tahun akan datang.
Pelancaran tersebut diumumkan oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Hj Mohd Syafiq Abdullah pada Majlis Apresiasi Gema Qalbi VFive Group 2025 yang berlangsung di Putrajaya Marriott Hotel baru-baru ini.
Menurutnya, VFive kini tidak lagi melihat kejayaan dalam konteks jangka pendek semata-mata, sebaliknya memberi fokus kepada pembinaan struktur organisasi yang kukuh dan berdaya tahan.
“Fokus kami bukan sekadar keuntungan tahunan, tetapi memastikan VFive terus relevan dan kompetitif untuk tempoh 50 hingga 100 tahun akan datang,” katanya.
Strategi berkenaan digerakkan menerusi lima pemacu utama iaitu Strategi Arah Tuju, Kecemerlangan Operasi, Kemampanan Kewangan, Kepimpinan dan Bakat serta Tadbir Urus dan Integriti sebagai kerangka hala tuju baharu syarikat.
“Pertumbuhan perlu bergerak seiring dengan tadbir urus yang baik, kestabilan kewangan dan pembangunan modal insan yang konsisten,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














